Ahad, 13 Mei 2018 | 12:00pm
PENDAKI kelainan upaya, Adam diberi kata-kata semangat rakan-rakan ketika mengengsot ke Thugla ketika dalam percubaan mendaki ke Kem Induk Everest. - FOTO Ikhsan KE7B.
PENDAKI kelainan upaya, Adam (empat dari kanan) bersama penduduk Thugla sebelum meneruskan pendakian ke Lobuche. - FOTO Ikhsan KE7B.

Adam mengengsot ke Thugla pada ketinggian 4,600m

KUALA LUMPUR: Pendaki yang kudung kedua-dua kaki, Azrulkhan Hasrullah atau Adam kini berada di Thugla, pada ketinggian 4,600 meter (m) dan berbaki tiga hingga empat hari untuk tiba di Kem Induk Everest.

Beliau memulakan pendakian dengan mengengsot dari Lukhla, Kathmandu, pada 2 Mei lalu, untuk sampai ke kem induk Everest yang berketinggian 5,350m dari aras laut.

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin selaku penaja ekspedisi Adam, berkata banyak rintangan terpaksa dilalui Adam sepanjang pendakiannya yang masuk hari ke-14, hari ini.

"Adam terpaksa mengengsot dalam keadaan bersalji, tanah yang becak, tahi Yak (sejenis lembu bertanduk panjang dan berbulu tebal) yang banyak, oksigen yang kurang, serta pendakian yang panjang.

"Setiap hari beliau mendaki sejauh empat kilometer (km) hingga enam km dalam masa lapan jam hingga 10 jam," kata Penjelajah Grand Slam pertama negara itu kepada NSTP.

Qobin berkata, Adam ketika menghubunginya menerusi pesanan WhatsApp kini dalam keadaan sihat dan sentiasa bersemangat untuk mencapai impiannya.

Katanya, hari ini Adam akan mendaki ke Lobuche, yang berketinggian 4,900m dan dijangka tiba di Kem Induk Everest dalam masa tiga hari dari sekarang.

Beliau sehubungan itu mengajak rakyat negara ini mendoakan yang terbaik buat Adam agar beliau berjaya mencapai misi dalam keadaan selamat.

"Saya begitu terharu dan berbangga kerana Adam walaupun tidak berkaki, keazamannya untuk mencapai impian sangat tinggi. Beliau memberi suntikan inspirasi kepada kita agar tidak cepat mengalah dengan kekurangan yang ada," katanya.

Misi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) Kem Induk Everest 2018 itu diketuai oleh Aliff Abdullah sebagai ketua perubatan dan Irwan Yusof, pengurus ekspedisi bersama jurulatih Adam, Ardi Dullam.

Qobin berkata, misi berkenaan diharap dapat membuktikan kepada dunia bahawa setiap rakyat Malaysia tidak kira siapapun, mampu mencapai misi besar buat negara.

#

Berita Harian X