Jumaat, 11 Mei 2018 | 7:12pm
PRESIDEN PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.
PRESIDEN PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.

PDAM sokong henti penetapan harga minyak mingguan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyokong cadangan kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) untuk menghentikan kaedah penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan.

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata persatuan dianggotai lebih 3,300 pengusaha stesen minyak itu sememangnya sejak dahulu lagi tidak bersetuju dengan kaedah terbabit yang dilihat membebankan banyak pihak.

Katanya, penstabilan harga bahan api itu penting dan diharap pelaksanaan kaedah baharu menentukan harga bahan api di bawah kerajaan PH dapat dibincangkan lebih awal supaya tidak menimbulkan permasalahan.

"Wakil industri bahan api dan industri automotif perlu membincangkan apakah mekanisme sesuai untuk mewujudkan situasi menang-menang semua pihak terbabit khususnya pengguna.

"Kita tidak mahu cara pelaksanaan seperti dulu (di bawah kerajaan BN) yang dibuat secara kelam kabut menyebabkan kami terpaksa memperbetulkan banyak masalah lain selepas itu," katanya ketika dihubungi wartawan NSTP di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang memberitahu kerajaan PH akan melihat semula kaedah penetapan harga siling bahan api ketika ini yang boleh 'berubah setiap saat'.

Beliau memberitahu perkara itu pada sidang media pertamanya lewat malam tadi selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara, di sini, jam 9.56 malam.

Mengulas lanjut, Khairul Annuar berkata, penetapan harga siling petrol dan diesel secara mingguan menyukarkan pengusaha stesen minyak dari segi logistik dan simpanan stok bahan api itu.

"Kalau mingguan, kita kena ambil stok minyak banyak kali kerana harga yang sekejap sangat berubah-ubah sekali gus mengakibatkan kos logistik (meningkat).

"Hendak ambil minyak banyak, takut harga jatuh menyebabkan margin untung sikit dan begitu juga sebaliknya yang akan menyukarkan perancangan perniagaan," katanya.

Kerajaan BN sebelum ini melaksanakan mekanisme penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan bermula pada 29 Mac 2017.

Penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan akan diumumkan setiap Rabu dan harga berkuat kuasa selepas 12 tengah malam.

Berita Harian X