Jumaat, 4 Mei 2018 | 3:18pm
CALON BN Parlimen Hulu Selangor, Datuk P Kamalanathan (tengah) bersama calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (kiri) beramah mesra dengan penduduk Kampung Orang Asli Hulu Melaka, Serendah, Saodah Sudin yang menghidap penyakit gaut sempena program ramah mesra bersama penduduk sempena Pilihan Raya Umum Ke-14. - Foto Zulfadhli Zulkifli
CALON BN Parlimen Hulu Selangor, Datuk P Kamalanathan (tengah) bersama calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (kiri) beramah mesra dengan penduduk Kampung Orang Asli Hulu Melaka, Serendah, Saodah Sudin yang menghidap penyakit gaut sempena program ramah mesra bersama penduduk sempena Pilihan Raya Umum Ke-14. - Foto Zulfadhli Zulkifli
DATUK Mat Nadzari Ahmad Dahlan. - Foto NSTP
DATUK Mat Nadzari Ahmad Dahlan. - Foto NSTP

Batang Kali bakal berubah wajah

SERENDAH: Batang Kali bakal menyaksikan pembangunan meliputi pelbagai aspek termasuk prasarana moden dan berteknologi tinggi, pusat pendidikan pelbagai aliran selain penyediaan kemudahan masyarakat mendapat rawatan kesihatan.

Golongan muda juga tidak dilupakan apabila kemudahan untuk aktiviti sukan seperti gelanggang papan luncur dan gelanggang futsal akan disediakan.

Malah, penyelesaian beberapa isu berkaitan pewartaan tanah dan tanah tanpa status serta tapak perkuburan masyarakat Cina akan dilaksanakan.

Itu adalah antara kandungan manifesto calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, yang mahu dilaksanakan demi manfaat masyarakat di kawasan yang diwakilinya.

Beliau berkata, semua 17 kandungan manifesto itu menyentuh kepentingan dan keperluan semua peringkat usia serta memangkin pertumbuhan ekonomi penduduk di kawasannya.

"Saya cuba mencari pemangkin dan nukleus baharu untuk sesuatu kawasan sebagai sosioekonomi yang mampu membawa perubahan bersifat menyeluruh.

"Saya menghidu beberapa peluang susulan inisiatif Kerajaan Persekutuan seperti pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berpotensi besar mewujudkan lembangan ekonomi baharu di kawasan ini.

"Dari situ timbul idea mewujudkan pelabuhan darat di Sungai Gapi, Serendah yang sudah tentu merancakkan pembangunan di sekitarnya, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi," katanya.

Beliau berkata, sebuah Universiti Pertahanan Malaysia, pusat aliran vokasional dan kolej vokasional serta Pusat Ngaji Kerajaan Negeri juga mahu dibina di kawasan itu.

Menurutnya, pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Sentosa juga akan dilaksanakan, selain kemudahan pusat dialisis dengan perkhidmatan ambulans.

"Saya turut mendekati masyarakat Cina terutama Hulu Yam Baharu dan Serendah yang menetap lama di kawasan kampung baru tapi malangnya ada antara perumahan mereka tidak bergeran dan masih berstatus sementara.

"Kita perlu memberi mereka peluang memiliki tanah kerana mereka sudah lama menetap di situ dan berkeluarga.

"Atas dasar itu, dalam manifesto kali ini saya beritahu kepada masyarakat Cina kita akan pastikan tanah rumah berstatus sementara akan diberi geran, termasuk tanah kediaman masyarakat Melayu," katanya yang turut berjanji menyelesaikan masalah kawasan jirat Cina di kawasannya.

MANIFESTO BN Batang Kali

1. Membina pusat aliran dan vokasional / kolej vokasional di FELDA Sungai Buaya.

2. Mewujudkan kawasan industri berteknologi tinggi seperti aeroangkasa dan pembuatan enjin di Sungai Choh, Hulu Selangor.

3. Pembinaan Pelabuhan Darat di Sungai Gapi, Selangor.

4. Membina Jambatan Sungai Batang Kali.

5. Pusat Ngaji kerajaan negeri.

6. Ambulans DUN.

7. Pusat dialisis percuma DUN.

8. Pusat khidmat nasihat kaunseling DUN.

9. Membina klinik kesihatan Bukit Sentosa.

10. Menyediakan kawasan jirat Cina.

11. Tanah Kampung Baru Cina Ulu Yam Baharu berstatus TOL diberi status geran.

12. Sekolah Menengah Agama Tinggi di Bukit Sentosa.

13. Pembinaan Masjid Tamar Bunga Raya.

14. Mewartakan tanah perkampungan Orang Asli.

15. Membina segera SJKT Ladang Minyak.

16. Membina gelanggang papan luncur untuk orang muda.

17. Membina lima gelanggang futsal.

Berita Harian X