Khamis, 3 Mei 2018 | 7:10pm
Ketua Pegawai Eksekutif 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy semasa berucap pada majlis 'Anda Tanya? Kami Jawab' Sesi Dialog Khas Isu Semasa Negara di Politeknik Balik Pulau. - Foto Danial Saad

'Saya bukan alat politik BN'

BALIK PULAU: "Saya bukan alat politik Barisan Nasional (BN), saya hanya jurucakap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB)."

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, tegas menjawab sebaik ditanya sama ada beliau menjadi alat politik BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.

Arul Kanda berkata, sudah banyak sesi penerangan dilakukan termasuk yang disiarkan secara eksklusif di beberapa saluran stesen televisyen, radio, dan akhbar.

Beliau berkata, semua sesi penerangan terbabit bermula pada 2015, malah isu berkaitan 1MDB mulai reda pada 2017.

"Bagaimanapun, sejak Februari lalu, pembangkang mula memainkan semula isu 1MDB dan menjadi tanggungjawab saya untuk memberi penerangan semula kepada awam.

"Saya tiada masa untuk berdebat dengan Tony Pua atau ahli politik yang lain. Masa saya hanyalah untuk mentadbir syarikat, dan memberi sesi penerangan terbuka seperti ini," katanya pada program sesi penerangan dan soal jawab mengenai 1MDB di Politeknik Balik Pulau di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy (kanan) semasa berucap pada majlis 'Anda Tanya? Kami Jawab' Sesi Dialog Khas Isu Semasa Negara di Politeknik Balik Pulau. - Foto Danial Saad

Yang turut hadir, penyandang kerusi Parlimen Balik Pulau merangkap Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Sementara itu, Arul berkata, 1MDB tidak dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap media antarabangsa kerana mereka membuat laporan berdasarkan fakta diberi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Katanya, semua laporan yang disiarkan media antarabangsa terbabit tidak menyalahi undang-undang, namun ia menjadi bahan spekulasi media propembangkang di negara ini.

"Kita mengambil contoh kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang mana tiada siapa boleh kata beliau bersalah sehingga kes selesai.

"Begitu juga dengan 1MDB. Sehingga kini, DoJ belum memfailkan saman di mahkamah walaupun hampir dua tahun dakwaan itu berlaku.

"Jadi, kita tidak boleh saman akhbar antarabangsa terbabit sehingga kes bermula, namun kita juga jangan buat spekulasi," katanya.

Berita Harian X