Rabu, 2 Mei 2018 | 9:32pm
DATUK Seri Najib Razak berbual bersama Tan Sri Dr K Kenneth Eswaran pada majlis Sesi Dialog dan Minum Petang bersama Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) serta Persatuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) di Seri Perdana, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Najib bela nasib kaum India - MAICCI

PUTRAJAYA: Nasib Masyarakat India lebih terbela sepanjang negara di bawah pentadbiran dan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak berbanding bekas Perdana Menteri yang memerintah negara selama 22 tahun.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri K Kenneth Eswaran, berkata Najib dilihat memberi banyak tumpuan dan bantuan kepada kaum India merangkumi aspek pendidikan, sosial serta ekonomi.

"Malah ketika Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau orang pertama yang menggerakkan inisiatif menubuhkan jawatankuasa Kabinet mengenai hal ehwal orang India.

"Usaha Najib membantu kaum India tetap diteruskan ketika memegang tampuk tertinggi kerajaan dengan mewujudkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia untuk tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog dan Minum Petang antara Dewan Perniagaan Negeri, masyarakat India, persatuan perniagaan dan 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India Muslim bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana di sini, hari ini.

Eswaran turut menempelak percubaan bekas pemimpin negara selama 22 tahun yang cuba meraih undi simpati masyarakat dan menaburkan pelbagai janji untuk membantu kaum India di negara ini.

"Dia gunakan video emosi sedih dan tangisan untuk meraih simpati rakyat, tapi ini hanya sandiwara dan rakyat tidak akan tertipu dengan taktik itu.

"Kenapa sekarang baru nak menangis. Ketika berkempen dia kata mahu buat lebih kepada kaum India, kenapa ketika ada kuasa selama 22 tahun dia tidak buat apa-apa untuk kami," katanya.

Katanya, pemimpin itu juga hanya digunakan parti DAP untuk memporak-perandakan rakyat supaya membenci kerajaan sedia ada.

"Dulu kita ada konsep alibaba, sekarang kita lihat DAP itu adalah alibaba. DAP alibaba sebenar kerana mempergunakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengganggu negara.

"Itu sebabnya kita akan turun padang membantu dapatkan undi untuk Barisan Nasional (BN) bagi memastikan Najib dapat meneruskan pelan dirancang untuk masyarakat India," katanya.

Berita Harian X