Rabu, 2 Mei 2018 | 8:29pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) bersalaman dengan tetamu selepas majlis bersama MAICCI, PERMIM di Seri Perdana, Putrajaya. - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR

Pegawai urus hal ehwal India Muslim akan dilantik

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak bersetuju melantik seorang pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal masyarakat India Muslim.

Perdana Menteri berkata, tugas pegawai yang akan dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu, antara lain memberi tumpuan kepada isu dan masalah dalam kalangan masyarakat India Muslim, termasuk urusan status Bumiputera dan kemasukan ke universiti awam.

"Saya faham masyarakat India Muslim dan ingin nyatakan selepas ini saya akan beri tanggungjawab berkenaan masyarakat ini kepada seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri.

"Pegawai khas ini akan bekerjasama dalam urusan status Bumiputera dan kemasukan ke universiti awam, saya tidak fikir perkara ini begitu sukar walaupun sistem kita ada kekangan.

"Saya akan bincang dengan pegawai dan kementerian berkenaan untuk atasi masalah kesukaran masyarakat India Muslim ke universiti awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog dan Minum Petang antara Dewan Perniagaan Negeri, masyarakat India, persatuan perniagaan dan 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India Muslim bersama Perdana Menteri di Seri Perdana di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI), Tan Sri K Kenneth Eswaran dan

Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Dhajudeen Shahul Hameed.

Selain itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi tempoh dua tahun kepada NGO India Muslim selain pembinaan sebuah kompleks atau dewan untuk komuniti itu.

Beliau berkata, mandat baharu diperlukan daripada rakyat kerana untuk membangunkan sebuah negara meliputi semua komuniti memerlukan masa.

"Empayar Rom tidak dibina dalam sehari, kita tidak boleh capai sepenuhnya objektif kita, perlu tempoh lama, buktinya kita sudah melaksanakan dan akan terus melaksanakan

"Dengan mandat baharu, kita boleh tentukan dasar 'tiada siapa yang ketinggalan' menjadi realiti, saya sedar bahawa jika tiada program khusus setiap komuniti, akan ada kelompok yang akan rasa diri mereka tertinggal dalam arus perdana," katanya.

Menyentuh masalah pekerja asing, Najib berkata, beliau akan melihat secara menyeluruh selepas PRU-14, termasuk tuntutan MAICCI, pemilik restoran dan pekerja bidang barangan lusuh yang memerlukan pekerja asing.

"Pada masa sama, kita juga perlu memberi perhatian kepada penyediaan peluang pekerjaan dan latihan kepada rakyat tempatan

"Saya harap kita dapat cari situasi menang menang dengan membangunkan model yang dapat menggalakkan rakyat tempatan bekerja di restoran.

Kita tidak mahu terlalu bergantung kepada warga asing tapi perlu galakkan rakyat Malaysia dapat peluang pekerjaan," katanya.

Berita Harian X