Rabu, 2 Mei 2018 | 12:35pm
ADAM (berjaket merah) memulakan pendakian ke kem induk Everest sebentar tadi. - Foto ihsan KE7B

Adam mengengsot ke kem induk Everest

KUALA LUMPUR: Pendaki kurang upaya yang kudung kedua-dua kaki, Azrulkhan Hasrullah atau Adam, 26, hari ini memulakan misi untuk menjejakkan kaki ke kem induk Everest yang berketinggian 5,350 meter dari aras laut.

Misi yang akan mengambil masa antara 16 hingga 18 hari itu diketuai oleh Aliff Abdullah sebagai ketua perubatan dan Irwan Yusof, pengurus ekspedisi bersama jurulatih Adam, Ardi Dullam.

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin selaku penaja ekspedisi Adam berkata, Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) sudah menjalankan ujian untuk melihat tahap persediaan dan kecergasan Adam.

Katanya, selepas ujian berkenaan, beliau berpuas hati dan yakin Adam bersedia untuk menggalas impiannya ke kem induk Everest.

"KE7B akan memantau setiap hari tahap kesihatan Adam, agar beliau sentiasa sihat dan cergas untuk memulakan pendakian.

"Kita juga bersedia dari segi keselamatan dan apa juga kemungkinan yang berlaku. Yang penting beliau selamat," katanya kepada NSTP di sini, pagi tadi.

Adam memulakan pendakian dari Lukhla, Kathmandu, jam 8 pagi waktu Nepal (jam 10.15 pagi waktu Malaysia), dengan mengengsot dan menggunakan kedua-dua tangannya.

Qobin berkata, berjaya atau gagal misi Adam adalah perkara kedua kerana yang lebih penting ialah keselamatan nyawa beliau.

"Apa pun peluang dan ruang telahpun saya berikan. Semoga beliau dan pasukan selamat mendaki dan selamat menjejakkan kaki di kem induk Everest nanti. Sama-sama kita doakan," katanya.

Berita Harian X