Ahad, 29 April 2018 | 5:01pm
PUTRAJAYA 29 APRIL 2018. Kakitangan Media Prima Berhad bergambar selepas menyertai Labour Day Run & Ride 2017 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, Pengerusi PERKESO, Tan Sri Dr Aseh Che Mat dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas ketika melepaskan peserta Labour Day Run & Ride 2017 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

8,000 sertai larian, kayuhan sihat

PUTRAJAYA: Media Prima Berhad (Media Prima) menerima penghargaan selepas mencatat penyertaan kakitangan paling ramai sempena aktiviti sihat larian dan kayuhan basikal 'Labour Day Run & Ride' di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Ia diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ketiga tertinggi, SME Development Bank membabitkan keseluruhan hampir 8,000 peserta daripada kakitangan awam dan swasta bersama keluarga masing-masing.

Ia adalah antara aktiviti sempena Hari Pekerja membabitkan empat kategori iaitu kayuhan sejauh 20 kilometer (km) dan 40 km manakala lima dan 10 km anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Sumber Manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, program bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan melakukan aktiviti sihat, sekali gus usaha meningkatkan kesihatan dan produktiviti pekerja kepada syarikat dan negara.

"Mengikut statistik PERKESO, ramai pekerja menghidap penyakit tidak berjangkit, maka PERKESO terpanggil memberi kesedaran dan bukan hanya melaksanakan tanggungjawab apabila orang tidak sihat, lumpuh atau berlaku kematian.

"Tuntutan membabitkan penyakit tidak berjangkit ini menjangkau 15,000 kes setahun dengan separuh membabitkan kematian.


KETUA Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar turut menyertai Labour Day Run & Ride 2017 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

"Ini termasuk kematian mengejut akibat serangan jantung selain masalah hilang upaya hingga tidak boleh bekerja dan memerlukan pemulihan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas dan Pengerusi PERKESO, Tan Sri Aseh Che Mat.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Kamal Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak; CEO Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar dan CEO Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul.

Berita Harian X