Ahad, 29 April 2018 | 3:04pm
KETUA Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Khairunisah Lokman
KETUA Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Khairunisah Lokman

Tinjau keperluan rakyat untuk input Bajet 2019

PUTATAN: Kerajaan sudah mula mengumpul input dan meninjau keperluan rakyat untuk merangka Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata semua keperluan rakyat akan diambil kira dan diberikan perhatian sewajarnya menerusi bajet berkenaan supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

"Kita mengamalkan pendekatan memahami jiwa rakyat dengan mengambil tahu apa yang rakyat mahu, bukan berdasarkan apa kita mahu. Kita mendengar keluhan rakyat kerana itu adalah langkah sebaiknya.

"Sekarang, kita tengah kumpul maklumat sebagai input Bajet 2019 dan sejajar dengan itu kita juga melawat semua kawasan.

"Setakat ini saya sudah melawat beberapa tempat di Sabah seperti Putatan, Sandakan dan beberapa lagi untuk mengumpul maklumat berkaitan keperluan rakyat di setiap kawasan," katanya pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Kewangan Bersama Rakyat, di Kampung Muhibbah, Petagas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Datuk Yahya Hussin dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri yang juga calon BN DUN Tanjung Aru, Datuk Edward Yong Oui Fah.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata, beliau akan menemui Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman untuk membincangkan cadangan mewujudkan kawasan khas untuk usahawan belia di negeri ini menjalankan perniagaan.

"Kita akan kenal pasti bangunan sesuai di ibu negeri untuk diubah suai dan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan sebagai tempat usahawan muda berniaga menerusi program Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC).

"Sekarang, di Sabah juga ada Pusat Transformasi Bandar (UTC) iaitu di Kota Kinabalu, Tawau dan Keningau untuk memberi keselesaan kepada rakyat berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan, jadi usaha juga dibuat untuk membantu usahawan belia," katanya.

Sempena majlis itu, Mohd Irwan meluluskan peruntukan tambahan RM10,000 untuk menambah kemudahan Dewan Kampung Muhibbah, Petagas yang sudah dibaiki dengan kos RM25,000.

Seramai 150 asnaf iaitu masing-masing 50 penduduk dari Kampung Muhibbah, Kampung Contoh dan Kampung Sri Pandan, di sini turut menerima bantuan keperluan barangan harian sumbangan Kementerian Kewangan.

Selain itu, enam kerusi roda turut disumbangkan kepada penduduk orang kelainan upaya (OKU) dan warga tua serta dua unit papan luncur (skateboard) kepada seorang pelajar Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau.

Berita Harian X