Khamis, 26 April 2018 | 6:31pm
KAPAL yang ditauliahkan KD GAGAH SAMUDERA (271) dan KD TEGUH SAMUDERA. - Foto NSTP
KAPAL yang ditauliahkan KD GAGAH SAMUDERA (271) dan KD TEGUH SAMUDERA. - Foto NSTP
LAKSAMANA Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin tandatangan buku pelawat KD TEGUH SAMUDERA. - Foto NSTP
LAKSAMANA Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin tandatangan buku pelawat KD TEGUH SAMUDERA. - Foto NSTP

Teguh Samudera kapal latihan milik TLDM

LUMUT: Keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk melahirkan anggota dan pegawai yang kompeten terus dipertingkatkan dengan pemilikan Teguh Samudera, sebuah kapal latihan yang menjadi aset kedua TLDM bagi tujuan berkenaan.

Kapal latihan Teguh Samudera turut menjadi pelengkap kepada kemudahan latihan bagi mendukung agenda Transformasi 15 kepada 5 TLDM.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata Teguh Samudera bersama sebuah lagi kapal latihan Gagah Samudera akan menjadi platform latihan di laut yang lengkap bagi membentuk warga TLDM yang profesional untuk mengoperasikan aset-aset TLDM yang lebih moden pada masa hadapan.

Katanya, kedua-dua kapal berkenaan dibina dengan kapasiti kemudahan latihan yang serba moden dan lengkap meliputi aspek peperangan, navigasi, kejuruteraan dan logistik.

"Sesuai dengan fungsinya, Teguh Samudera mampu menempatkan jumlah pelatih yang optimum, bagi membolehkan pelaksanaan latihan dengan lebih sempurna dan berkesan.

"Selain itu, Teguh Samudera juga boleh diatur gerak bagi memenuhi cabaran dan keperluan operasi semasa maritim negara apabila diperlukan, serta memiliki kemudahan membaiki kapal, limbungan serta mampu membina bot tunda.

"Tahniah juga diucapkan kepada Grade One Marine Shipyard yang membina kapal ini, sekaligus membuktikan syarikat tempatan untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa dalam sektor pembinaan kapal.

Ahmad Kamarulzaman berkata demikian ketika berucap dalam upacara pentauliahan Teguh Samudera, di Tambatan Pangkalan TLDM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan pembinaan Teguh Samudera juga membuktikan perkembangan industri pertahanan maritim negara.

"Banyak vendor industri maritim tempatan dilahirkan selain meningkatkan tahap kemahiran rakyat Malaysia untuk membina kapal perang yang lebih kompleks dan rumit untuk dihasilkan.

"Tidak dilupakan, kesediaan dan komitmen kerajaan kerana meluluskan perolehan kapal latihan ini. Ia membuktikan sokongan penuh kerajaan dalam usaha TLDM menyediakan sistem dan platform latihan yang terbaik," katanya.

Berita Harian X