Rabu, 25 April 2018 | 4:44pm
DATUK Dr Ismail Sualman. - Foto NSTP

Pemimpin pembangkang pindah kerusi umpama Touch N Go

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin utama pembangkang yang kerap berpindah kerusi pada setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) dianggap seperti menyelamatkan diri sendiri, sekali gus menjadi pemimpin 'Touch N Go'.

Penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman, berkata tindakan itu juga menyerlahkan sifat sebenar pemimpin pembangkang terbabit yang tidak bersungguh-sungguh untuk menjadi wakil rakyat dan berkhidmat kepada masyarakat.

"Inilah pemimpin Touch N Go. Mereka datang dan kemudian pergi (cari tempat baharu). Ini menunjukkan mereka tidak berminat menjadi wakil rakyat yang berkhidmat kepada pengundinya.

"Dia rasa dirinya sudah bagus. Jadi apabila berpindah kerusi, mereka yakin boleh menang. Mereka tiada jiwa untuk berkhidmat," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Panel Perunding Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, satu penggal adalah tempoh yang pendek bagi seseorang wakil rakyat menabur khidmat di kawasan dimenanginya.

"Rancangan dan program khidmat bakti tidak cukup dibuat hanya untuk satu penggal, ia memerlukan masa. Dalam kalangan pemimpin pembangkang, mereka tiada kecenderungan seperti itu, berbeza dengan pemimpin Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sementara itu, pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, DAP memiliki strategi sedikit berbeza dengan PKR dan Parti Amanah Negara (PAN).

"DAP lebih terarah untuk menyerang kubu MCA dan GERAKAN. Sebab itu mereka berani meletakkan calon dalam kalangan pemimpin utama parti di kerusi ditandingi pemimpin utama MCA dan GERAKAN. Mereka juga mahukan kawasan bertanding yang ramai pengundi Cina," katanya.

Antara nama besar DAP yang berpindah kerusi termasuk Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, yang diumum bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan, yang mana BN akan diwakili Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong. Kor Ming sebelum ini adalah Ahli Parlimen Taiping.

Selain itu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pula akan mencabar Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di kerusi Parlimen Ayer Hitam. Chin Tong sebelum ini menang di Parlimen Kluang.

Mohd Azizuddin berkata, strategi ini juga bukan baharu, sebaliknya sudah dimulakan sejak dua PRU lalu, selain didorong sentimen penolakan undi kaum Cina terhadap MCA serta GERAKAN.

Bagi pemimpin PAN dan PKR, beliau berkata, perpindahan kerusi bertanding didorong rekod keputusan PRU lalu dan faktor sentimen pengundi seperti di kerusi Parlimen Permatang Pauh, Pandan dan Kota Raja.

"Mat Sabu (atau Mohamad Sabu yang juga Presiden PAN) melihat Kota Raja selamat baginya kerana wakil parti itu menang sebelum ini walaupun dengan tiket PAS.

"Permatang Pauh yang ditandingi Nurul Izzah Anwar pula, bagi PKR ia selamat, ditambah pula ketika ini Nurul Izzah mungkin melihat peluangnya mengekalkan kemenangan di kerusi Lembah Pantai agak tipis," katanya.

Bagi Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang berpindah kerusi ke Pandan didorong keyakinan kerusi itu selamat bagi pembangkang, ditambah pula selepas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak dicalonkan semula.

Pada PRU-13, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang juga berpindah kerusi ke Gelang Patah di Johor dari Ipoh Barat. Pada PRU-14 ini, Kit Siang kekal di kerusi sekarang dengan nama baharunya, Parlimen Iskandar Puteri.

Berita Harian X