Ahad, 22 April 2018 | 10:12am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (tengah) ketika hadir di Majlis Ramah Mesra bersama Pertubuhan Badan Amal Tarbiah Sejagat (BATAS) Sabah di Kingfisher Sulaman, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Komited bangunkan agenda pendidikan - Rahman

KOTA KINABALU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi penuh komitmen dalam membangunkan agenda pendidikan kepada anak bangsa di seluruh negara termasuk di luar bandar.

Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, oleh sebab itu program Jelajah Pendidikan Bumiputera dilaksanakan bagi memberi peluang kepada anak-anak meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

"Program ini adalah aspirasi dan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu memberi peluang kedua atau ketiga kepada anak-anak di luar bandar untuk meneruskan pengajian mereka ke universiti dan kolej serta institut kemahiran.

"Program ini untuk mencari dan membantu Bumiputera yang tercicir tetapi berkelayakan melanjutkan pengajian di 37 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terpilih, selain kumpulan yang kurang berkemampuan di luar bandar, pedalaman dan miskin bandar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Sehubungan itu, program ini membawa 'universiti' menjelajah di kawasan Parlimen untuk mencari pelajar yang layak menyambung pelajaran. Jika dahulu pelajar mencari universiti, kini universiti yang datang kepada pelajar," katanya selepas majlis perasmian pelancaran Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 peringkat negeri di sini, semalam.

Abdul Rahman merasmikan majlis itu bagi mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Pengerusi BN Sepanggar, Datuk Yakub Khan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian turut menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,500 sebagai persiapan memasuki IPTA.

Sementara itu, Sahol berpuas hati dengan sambutan yang cukup menggalakkan daripada peserta sepanjang program berkenaan diadakan di kawasan Parlimen Sepanggar.

Bagi program ini di Sabah, selain Sepanggar siri jelajah program itu akan berada di Keningau pada hari ini diikuti di Kota Marudu (23 April ) dan Kinabatangan pada 25 April 2018 sebelum singgah ke Sarawak pada 27 April ini.

Berita Harian X