Jumaat, 20 April 2018 | 6:45pm
PRESIDEN dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy. - Foto ABDULLAH YUSOF
PRESIDEN dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy. - Foto ABDULLAH YUSOF

Arul Kanda himpun penjelasan di laman web

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, melancarkan laman web khusus menyiarkan penjelasannya berkaitan isu syarikat pelaburan strategik itu.

Laman sesawang www.arulkanda.com yang mula aktif sejak semalam, menghimpunkan artikel, gambar dan video penjelasan Arul Kanda berhubung isu 1MDB yang pernah disiarkan.

Ia turut menyiarkan semula wawancara Arul dengan sebuah portal berhubung pelancaran laman web terbabit.

Dalam wawancara berkenaan, Arul Kanda antara lain berkata, cadangan laman web itu dikemukakan oleh orang ramai ketika beliau mengadakan siri jelajah menjelaskan isu 1MDB.

"Matlamat saya ialah bagi laman ini menjadi penyebar maklumat berkaitan isu penting 1MDB dan memberi penjelasan kepada mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai 1MDB," katanya.

Arul Kanda yang menerajui 1MDB sejak 2015 berkata, laman web itu akan ditambah baik secara berterusan.

"Walaupun ada pihak khususnya pembangkang menganggap pelancaran laman web ini kebetulan ketika demam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), itu semua taktik kitar semula.

"Kedudukan saya adalah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, bukan ahli politik.

"Sebagai syarikat, kami bertanggungjawab memberi maklum balas terhadap apa juga serangan ke atas 1MDB," katanya.

Antara artikel pilihan Arul Kanda yang dimuatkan ke dalam laman web itu adalah 'Isu Good Star - Publisiti Murahan Pembangkang', 'Pembangkang Ketandusan Isu, Punca Bangkit Isu 1MDB' dan 'Politik Kebencian Pembangkang'.

Berita Harian X