Rabu, 11 April 2018 | 12:29am
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa. - Foto Hafiz Sohaimi
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa. - Foto Hafiz Sohaimi

Manifesto realistik, prihatin semua golongan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menyifatkan manifesto khusus untuk golongan belia yang dibentang oleh Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, malam tadi sebagai realistik dan mampu dilaksanakan.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa, berkata, jika diperhalusi lapan teras jaminan dinyatakan Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda UMNO begitu teliti demi memperkasa kebajikan golongan belia di Malaysia.

"Kita melihat janji dinyatakan bukan palsu tapi realistik dan mampu dijayakan. Ia menyantuni segenap lapisan anak muda daripada orang kurang upaya (OKU) hingga kepada pesalah muda dan juvana.

"Sudah tentu ia sebuah manifesto harapan yang jelas dan jitu kepada anak muda.

"Justeru saya menyeru kepada anak muda supaya beri sokongan padu kepada Khairy Jamaluddin dan BN. Bagi saya beliau sentiasa dengar denyut nadi anak muda dan akan berterusan memperjuangkan nasib anak muda," katanya ditemui selepas majlis pembentangan manifesto bertemakan Jaminan Orang Muda, di Dewan Merdeka, pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Zambri berkata, BN sebuah parti yang sentiasa berusaha membangunkan anak muda dan tiada sekelumit hendak menidakkan anak muda.

"Daripada lapan teras manifesto, saya kagum dengan tumpuan diberikan untuk peluang kedua kepada golongan belia yang terjebak penyalahgunaan dadah dan jenayah untuk kembali menyumbang kepada negara melalui pemulihan dan pelbagai latihan.

"Ini sangat menyentuh hati saya kerana percaya setiap orang perlu diberi ruang dan peluang apabila melakukan kesilapan. Ini tiada dalam manifesto pembangkang, " katanya.

Bagi Bendahari Persatuan Orang Kurang Upaya Comel Putrajaya ( POKUP), Fauzizaladi Jusoh, 39, berkata,pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Khairy Jamaluddin atas pembentangan manifesto yang padat dan bermakna kerana turut menekankan kebajikan OKU.

"Inisiatif untuk pastikan golongan OKU seperti saya terus dibela sangat baik dan jelas menunjukkan BN prihatin kepada semua lapisan belia di negara ini.

"Ini pertama kali ada manifesto khusus untuk belia dan saya amat terharu dan bersyukur serta berdoa jaminan ini dapat direalisasikan.

"Antara yang penting beliau (Khairy Jamaluddin) beri jaminan akan perjuangkan supaya kami dapat peluang kerja di sektor kerajaan dan swasta. Selama ini, golongan OKU sukar untuk mendapat peluang kerja," katanya.

Berita Harian X