Ahad, 8 April 2018 | 5:29pm
MODERATOR, Mohd Fazli Ibrahim (tengah) bersama ahli panel, Abdur-Razzaq Lubis (kanan) dan Datuk Ar Hajeedar Abd Majid pada majlis bicara buku berjudul 'Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur' di Galeri Petronas, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim
MODERATOR, Mohd Fazli Ibrahim (tengah) bersama ahli panel, Abdur-Razzaq Lubis (kanan) dan Datuk Ar Hajeedar Abd Majid pada majlis bicara buku berjudul 'Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur' di Galeri Petronas, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

Maklumat baharu sejarah pembukaan Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Pendedahan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pada beberapa wacana intelektual tahun lalu bahawa pengasas Kuala Lumpur ialah Sutan Puasa dari Mandailing, menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai.

Presiden Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (IMAMI), Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, berkata sebelum pendedahan Kay Kim itu pun, masyarakat Mandailing di negara ini sudah lama mengetahui sejarah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, akibat kelemahan masyarakat itu yang tiada catatan bertulis dan gambar mengenai pembukaan Kuala Lumpur oleh Raja Puasa, mereka sukar membuktikan siapa sebenarnya mengasaskan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, penemuan sebuah terowong rahsia sepanjang 10 meter yang dipercayai berusia ratusan tahun di Bukit Nanas, Kuala Lumpur pada Januari 2015 bermula dari Bukit Nanas hingga tebing Sungai Klang, membuktikan masyarakat Mandailing sudah lama bertapak di ibu negara.

"Terowong itu dipercayai digunakan penduduk Mandailing dari Sumatera sebagai laluan bagi melarikan diri ketika Perang Saudara di Selangor pada 1868 dan 1871," katanya ketika ditemui media selepas program bicara buku 'Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur' di sini hari ini.

Buku berkenaan hasil tulisan Abdur-Razzaq Lubis, mendedahkan maklumat baharu berhubung sejarah ibu negara Malaysia.

"Hasil pendedahan Kay Kim dan buku 'Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur', memberi interpretasi baharu kepada persoalan siapa sebenarnya membuka Kuala Lumpur. Kerajaan seharusnya mengiktiraf kajian kedua-dua tokoh (Kay Kim dan Abdur-Razzaq Lubis)," kata Ahmad Tarmimi.

Sementara itu, Pengurus Art Collection Galeri Petronas, Ratna Siti Akbari, berkata buku berkenaan antara yang mengisi program bual bicara di Galeri Petronas yang membuka peluang kepada orang ramai untuk mengetahui sejarah penting negara.

"Kuala Lumpur yang asalnya kawasan perlombongan, kemudian berkembang menjadi kota perdagangan mempunyai sejarah panjang mengenai siapa sebenarnya yang membukanya, sama ada Yap Ah Loy, Sutan Puasa atau Raja Abdullah.

"Terserah kepada pakar sejarah untuk menentukannya," katanya.

Berita Harian X