Jumaat, 6 April 2018 | 1:36pm
DATUK Dr Jeffrey Kitingan. - Foto Edmund Samunting
DATUK Dr Jeffrey Kitingan. - Foto Edmund Samunting

Pemimpin pembangkang Sabah bidas Dr M

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin parti pembangkang tempatan di Sabah, menyelar kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabelkan rakyat Sabah dan Sarawak sebagai pemalas.

Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata Sabah dan Sarawak tertinggal dari segi pembangunan itu tiada kaitan dengan sikap rakyat kedua-dua negeri, sebaliknya ia disebabkan dasar, selain berlaku penindasan serta diskriminasi ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

"Dana pembangunan ditahan kerajaan Persekutuan (menyebabkan pembangunan tidak dapat dilaksanakan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Mahathir dalam satu forum di ibu negara baru-baru ini dilaporkan berkata, kemunduran Sabah dan Sarawak adalah disebabkan ketamakan pemimpinnya sendiri.

Beliau mendakwa, pemimpin yang terbabit dalam aktiviti pembalakan di Sabah suatu ketika dulu menjual balak ke luar negeri bagi mendapatkan keuntungan segera berbanding membangunkan industri nilai tambah hiliran dan infrastruktur.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Kamarlin Ombi, berkata kenyataan Dr Mahathir itu tidak menggambarkan keperibadian sebagai seorang negarawan.

"Saya fikir dia sendiri tahu dia gagal menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun lalu, maka beliau menempelak orang Sabah dan Sarawak yang dilabel sebagai pemalas, ambil mudah serta sebagainya.

"Tidak hairan jika dia boleh mengeluarkan kata-kata itu kerana Dr Mahathir adalah orang yang terdesak, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang parti dipimpinnya dibubar sementara," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sipitang berkata, tidak seperti Dr Mahathir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak termasuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

"Projek lebuh raya itu dilaksanakan di seluruh negeri, malah rakyat di Beaufort dan Sipitang turut menikmatinya apabila siap nanti," katanya.

Berita Harian X