Rabu, 4 April 2018 | 3:21pm
NAJIB menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

'Anda sahabat, anda kawan setia'

PUTRAJAYA: Mengambil contoh bait lirik lagu 'Kawan Setia' dendangan Datuk DJ Dave, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan penjawat awam sebagai 'kawan setia lagi utama' kepada kerajaan pimpinannya.

Perdana Menteri mengakui penjawat awam dekat di hatinya, malah sepanjang lebih 40 tahun terbabit dalam politik dan pentadbiran kerajaan, golongan itu banyak membantu dan mendukung kuat tugasnya.

"Penjawat awam bukan sekadar kakitangan kerajaan, malah boleh diumpamakan sebagai sahabat dan kawan setia lagi utama kepada pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di hadapan lebih 10,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut membacakan petikan lirik lagu 'Kawan Setia' pada majlis berkenaan.

Kawan yang setia ibarat cahaya,

Menjadi penerang masa kegelapan,

Dia tak tergamak biarkan engkau sendiri,

Nasibmu pasti akan dibela.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri turut berkongsi petikan madah Melayu lama dan kata-kata semangat serta inspirasi kepada penjawat awam yang disambut tepukan gemuruh serta sorakan hadirin.

Buah sebakul dibawa bonda,

Letak di para sama dikongsi,

Walau dipukul ribut melanda,

Kawan setia tetap di sisi.

Lantas,

Marilah kita semua bersatu hati

Kita gantung azam, semangat dan cita-cita yang tinggi

Setinggi bintang kejora di langit pagi

Tanamkan dalam hati nubari bahawa

Kitalah kawan setia kerajaan

Kitalah pendukung utama negara

Tidak bisa mungkin kita lepaskan pada pembangkang yang bagai api dalam sekam

Telunjuk kononnya lurus, namun kelingking berkait

Walau apa pun

Biar diasak bertubi-tubi, 'pemimpin luput di langit senja'

Takkan kita biarkan walau lumat kita digiling

Walau hancur kita ditumbuk

Penjawat awam terus kita perjuangkan maruah dan kepentingannya

Kerajaan ini tetap dipertahankan!!!

Negara Malaysia pasti kita julang!!!

Berita Harian X