Rabu, 4 April 2018 | 12:20pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching. - Foto Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PARLIMEN: Senarai hitam peminjam culas bukan menghukum

KUALA LUMPUR: Kutipan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga Februari lalu adalah RM1.84 bilion.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata peningkatan bayaran balik susulan pelbagai tindakan, termasuk menyenarai hitamkan peminjam culas itu berupaya menampung pembiayaan pengajian 76,000 pelajar baharu.

Katanya, tanggapan segelintir pihak bahawa tindakan punitif (hukuman) yang menyekat perjalanan keluar peminjam bersifat menindas atau mengongkong adalah tidak benar.

"Senarai hitam menerusi kerjasama dengan Jabatan Imigresen adalah pendekatan mendidik bagi memastikan peminjam PTPTN tidak lebih terbeban di kemudian hari.

"Ia langkah akhir terhadap peminjam yang mempunyai tunggakan bayaran balik melebihi enam bulan," katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Khairuddin meminta perincian prosedur menyenarai hitamkan individu yang gagal membuat pembayaran semula pinjaman PTPTN selepas menamatkan pengajian.

Kain Ching menjelaskan, prosedur menyekat perjalanan itu selaras peruntukan Seksyen 22A Akta PTPTN 1997 atau Akta 566 yang membenarkan nama peminjam disenarai hitam dalam pangkalan data Jabatan Imigresen.

Menjawab soalan tambahan Datuk Normala Abdul Samad berhubung hasutan segelintir pihak, kononnya peminjam tidak perlu menjelaskan hutang PTPTN, Kain Ching berkata, kenyataan berkenaan tidak berasas.

Beliau sebaliknya menjelaskan, bayaran balik penting bagi memastikan dana pusingan untuk membiayai pengajian pelajar baharu berupaya dilaksanakan.

"PTPTN menyediakan lima pilihan untuk peminjam menjelaskan bayaran balik bagi memastikan ia tidak memberi bebanan tambahan kepada mereka.

"Ia merangkumi usaha memujuk peminjam menyelesaikan keseluruhan hutang dengan penawaran diskaun 20 peratus, selain boleh menggunakan pembiayaan menerusi akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Sekiranya masih gagal, kita ada pilihan kedua, ketiga dan keempat yang memperuntukkan bayaran balik secara ansuran serta potongan gaji, tertakluk kepada syarat tertentu.

"Pendekatan ini selaras kempen PTPTN, iaitu #bolehbincang, justeru masyarakat perlu bersyukur kerana kerajaan sentiasa merangka pelbagai usaha untuk membantu peminjam," katanya.

Berita Harian X