Selasa, 3 April 2018 | 7:06pm
PENSYARAH dan Penyelidik Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga UTM, Prof Madya Dr Siti Hamidah Mohd (tengah) bersama produk rangkaian Natural Kiss pada sesi sidang media memperkenalkan produk kosmetik Micellar Water Series yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

UTM hasil produk penjagaan kulit

JOHOR BAHRU: Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan dua produk penjagaan kulit berasaskan teknologi nano hijau dikenali sebagai Micellar Water Series yang berfungsi membersihkan wajah dan menyegarkan kulit.

Inisiatif dibangunkan lapan penyelidik termasuk penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) itu satu inovasi baru kerana menggunakan bahan semula jadi bermutu tinggi.

Pensyarah dan Penyelidik Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga UTM, Prof Madya Dr Siti Hamidah Mohd, berkata projek berteknologi tinggi itu mengambil masa kira-kira tiga tahun sebelum berjaya menghasilkan produk yang memberi kesan memuaskan, selamat dan semua bahan mengikut piawaian keselamatan dan kesihatan.

"Kami hanya menggunakan bahan bermutu tinggi adunan asid hyaluranic, 'bee venom', hidrosol mawar dan pelbagai minyak semula jadi tumbuhan.

"Micellar Water Series mempunyai dua produk iaitu pencuci wajah dan penyegar kulit. Teknologi micellar akan menambahkan keberkesanan cucian wajah dan solekan sehingga lima kali ganda daripada cucian biasa, manakala gabungan penggunaan pencuci dan penyegar memberi kesan lembapan kepada wajah hingga 20 kali ganda.

"Kualiti bahan bermutu tinggi yang diimport dari Jepun berfungsi sebagai agen anti-penuaan dan akan menganjalkan kulit, selain mencerah dan menyerikan wajah.

"Kebanyakan micellar water di pasaran adalah produk diimport dan menggunakan banyak bahan sintetik, tetapi kami tidak berbuat demikian sebaliknya membuat kajian dan pembangunan (R&D) di makmal UTM," katanya pada sidang media memperkenalkan Micellar Water Series di Dewan Sultan Iskandar, UTM, di sini, hari ini.


ANTARA produk rangkaian Natural Kiss yang dihasilkan oleh penyelidik UTM. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Siti Hamidah berkata, beliau memiliki syarikat hiliran UTM iaitu SHE Empire Sdn Bhd dan membuat kajian dalam bidang teknologi micellar sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, Micellar Water Series adalah produk terbaru daripada rangkaian kosmetik jenama Natural Kiss.

Katanya, sebagai permulaan, pihaknya memasarkan 5,000 unit bagi kedua-dua produk dalam tempoh dua bulan berikutan permintaan tinggi selain mesra wuduk.

"Produk yang dijual pada harga RM69.90 bagi pencuci wajah dan RM89.90 untuk penyegar kulit mampu dibeli pelbagai lapisan masyarakat dan lebih penting, ia tidak akan memudaratkan penggunanya.

"Penyelidikan dalam bidang teknologi nano hijau ini masih diteruskan dan kini kami membangunkan prototaip produk micellar menggunakan tumbuhan tempatan seperti roselle, daun gelenggang dan minyak kayu putih.

"Beberapa agensi turut membantu mengkomersialkan produk kosmetik ini ke pasaran luar negara termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei," katanya.

Menurutnya, walaupun jenama itu masih baharu di pasaran pihaknya yakin dapat bersaing kerana kepakaran UTM melakukan penyelidikan serta tidak membahayakan pengguna berbanding beberapa jenama lain yang menggunakan bahan bertoksik.

Siti Hamidah berkata, rangkaian produk kosmetik Natural Kiss dilengkapi bedak asas, gincu, pemerah pipi, sabun, krim muka dan losyen.

Berita Harian X