Khamis, 29 March 2018 | 1:28pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Rasul Azli Samad
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Rasul Azli Samad

MyHAC martabatkan industri halal negara

SEREMBAN: Pembinaan Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC), makmal halal pertama seumpamanya di dunia, membuktikan kerajaan mengutamakan pelaksanaan dan pencapaian dalam pembangunan Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembinaan makmal analisis halal itu adalah satu inisiatif yang baik bagi memartabatkan industri halal di persada antarabangsa.

Katanya, pensijilan halal yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri menggabungkan kedua-dua elemen iaitu hukum syarak serta sains teknologi.

"Ia dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan dan dasar syariah selain jaminan dari aspek keselamatan dan kebersihan sesuatu produk.

"Tahap integriti yang tinggi dalam memastikan produk yang diberikan sijil pengesahan halal Malaysia bukan sekadar penelitian terhadap dokumen dan pengauditan di lapangan semata-mata, tetapi turut merangkumi analisis secara saintifik di makmal bagi pengesahan ramuan yang tidak diketahui status halalnya.

"Pembinaan MyHAC ini dapat membantu proses pensijilan halal supaya dapat dilaksanakan dengan lebih cekap," katanya ketika berucap pada majlis perasmian MyHAC di Bandar Enstek di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustafa dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Awaludin Said.

Berita Harian X