Rabu, 28 March 2018 | 6:21pm

Bayi, remaja perempuan perlu sumbangan rawat jantung

KUALA LUMPUR: Seorang bayi berusia sembilan bulan dan remaja berusia 14 tahun masing-masing memerlukan bantuan orang ramai untuk menampung kos pembedahan bagi masalah jantung berlubang.

Awa Darwisyah Jinison dan Teo Chai Ling, yang ketika ini berada di Hospital Gleneagles, memerlukan sumbangan berjumlah RM110,000 untuk membayar kos rawatan dan pembedahan.

Ibu Awa Darwisyah, Jalina Eem, 27, berkata anaknya bukan saja mempunyai masalah jantung berlubang tetapi juga pelbagai komplikasi lain yang mengakibatkan bayi itu sering dimasukkan ke hospital.

Beliau yang berasal dari Kota Marudu, Sabah berkata Awa Darwisyah adalah anak bongsu di kalangan lima adik beradik dan disyaki mengalami masalah jantung sejak berusia empat bulan lagi.

"Masalah jantungnya sangat kritikal dan memerlukan rawatan pembedahan dengan kadar segera, antara komplikasi yang dialami selain jantung berlubang adalah masalah saluran injap, paru-paru sebelah kanannya sempit dan pembentukan salur injap di tempat lain.

"Justeru, saya dan suami (Jinison Bilis, 45) merayu kepada orang ramai untuk membantu kami," katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu kepada Teo Chai Ling, Hew Mei Choo, 36, yang berasal dari Melaka, berkata anaknya mengalami masalah jantung sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan pada usia 18 bulan.

Katanya sejak dari itu, setiap tahun Chai Ling terpaksa ke hospital untuk membuat pemeriksaan, namun pada tahun lalu laporan Pengimejan Magnetik Resonans (MRI) beliau menunjukkan komplikasi.

"Chai Ling tidak aktif di sekolah akibat masalah jantungnya dan guru juga maklum mengenai perkara ini, namun beliau tidak pernah mengadu sakit tetapi perlu menjalani pembedahan kerana terdapat komplikasi lain.

"Beliau sebenarnya sangat takut untuk menjalani pembedahan, justeru saya perlu sentiasa ada bersama," katanya.

Orang ramai yang prihatin untuk membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima NSTP ke akaun Maybank bernombor 5141 0532 3170 dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek juga boleh dihantar kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Level 1 Anjung Riong Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar Kuala Lumpur.

TEO Chai Ling yang menerima Dana Kemanusiaan Media Prima -NSTP untuk pembedahan jantung berlubang ditemani ibunya Hew Mei Choo di Gleneagles Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
JALINA Eem bersama suaminya Jinison Bilis melihat anaknya Awa Darwisyah, yang menerima Dana Kemanusiaan Media Prima -NSTP untuk pembedahan jantung berlubang di Gleneagles Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X