Selasa, 27 March 2018 | 3:43pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutallib Alias (kiri) melawat pameran pada Majlis Pelancaran PR1MA Haven di PWTC. - Foto Luqman Hakim Zubir
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutallib Alias (kiri) melawat pameran pada Majlis Pelancaran PR1MA Haven di PWTC. - Foto Luqman Hakim Zubir

PR1MA tawar ganjaran istimewa

KUALA LUMPUR: Pembeli dan pendaftar Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan menikmati ganjaran istimewa menerusi aplikasi PR1MA HAVEN.

Orang ramai yang memuat turun aplikasi berkenaan dan mendaftar di bawah PR1MA akan menerima potongan harga bagi pembelian perkakas rumah seperti peralatan dapur dan barangan elektrik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata inisiatif itu bagi membantu mengurangkan perbelanjaan rakyat sebagai pemilik rumah.

"Sebahagian besar perbelanjaan isi rumah rakyat membabitkan penyediaan kelengkapan rumah. Ia beri impak besar kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40).

"Program ini bertujuan meringankan beban rakyat dalam proses, sebelum dan selepas pembelian rumah." katanya ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi itu sempena Ekspo Jualan Perumahan anjuran Perbadanan PR1MA, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias dan Ketua Pegawai Operasi PR1MA, Datuk Ar Aminuddin Abdul Manaf.

Shahidan berkata, sejak diperkenalkan Februari lalu, aplikasi itu merekodkan lebih 52,000 jumlah muat turun.

Aplikasi itu ketika ini menawarkan lebih 100 produk kelengkapan rumah berjenama dan berkualiti tinggi, membabitkan 27 rakan strategik jenama terkenal.

Sementara itu, ekspo yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sejak Sabtu lalu hingga 1 April ini, berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memiliki rumah, terutama bagi golongan B40 dan M40.

Ia menawarkan kira-kira 600,000 unit rumah mampu milik, menerusi hampir 100 gerai pameran PR1MA dari setiap negeri, Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan projek perumahan di bawah agensi kerajaan.

Turut menyertai ekspo adalalah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan wakil bank, yang menyediakan khidmat rundingan bagi mendapatkan pinjaman bank.

Berita Harian X