Selasa, 27 March 2018 | 2:26pm

Harga hotel di Langkawi tertinggi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Hotel di Langkawi mencatatkan harga penginapan paling tinggi tahun lalu, dengan kebanjiran pelancong dari China.

Menurut Indeks Harga Hotel (HPI) yang dikeluarkan Hotels.com, lonjakan sehingga 19 peratus dicatatkan bagi penginapan hotel di Langkawi.

Pengarah Serantau bagi China Raya, Asia Tenggara & India, Hotels.com, Jessica Chuang berkata, pada tahun lalu, harga penginapan hotel di Langkawi dan Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan kukuh berbanding 2016.

"Lonjakan 19 peratus harga hotel di Langkawi sejajar dengan pelancaran laluan penerbangan terus yang menghubungkan pulau ini dengan Guangzhou dan Shenzhen, dua bandar utama di China," katanya.

Menurutnya, pelancong Malaysia turut berbelanja lebih untuk penginapan pada tahun lalu dengan purata harga penginapan yang dibayar di Malaysia juga meningkat mengikut trend global.

"Kami melihat peningkatan ketara dalam harga yang dibayar di semua destinasi utama dalam negara, kecuali di Johor dan Sarawak.

"Kenaikan harga dua angka di Sabah pada tahun lalu sejajar dengan pertumbuhan kukuh sektor pelancongan di negeri itu, yang menerima kedatangan 3.67 juta pelancong pada 2017 iaitu jumlah paling tinggi dicatatkan," katanya.

Chuang berkata, kenaikan kukuh itu juga dapat dilihat dalam harga penginapan luar negara yang dibayar pelancong Malaysia tahun lalu, terutama di destinasi serantau seperti Bangkok, Singapura dan Hong Kong.

"Tahun lalu juga menguntungkan rakyat Malaysia yang gemar melancong ke Jepun, kerana nilai ringgit kukuh berbanding Yen.

"Oleh yang demikian, pelancong Malaysia mendapati mereka membayar jauh lebih rendah pada 2017 untuk destinasi popular seperti Tokyo dan Osaka," katanya.

Malah, pelancong Malaysia juga menikmati nilai ringgit yang lebih tinggi di Itali pada tahun lalu di mana penurunan mendadak purata harga hotel didapati di Rom, Milan dan Florence - tiga destinasi paling popular di Itali bagi pelancong Malaysia.

Berita Harian X