Isnin, 26 March 2018 | 11:47am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

RUU berkaitan berita palsu dijangka dibentang hari ini

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan membuat atau menyebarkan berita tidak benar.

RUU itu bukan saja terpakai kepada rakyat Malaysia, malah warga asing jika berita tidak benar yang disebarkan itu adalah mengenai Malaysia atau menyentuh rakyat negara ini.

Ia adalah hukuman yang dicadangkan mengikut fasal 4 (1) dalam RUU itu yang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Salinan RUU itu diedarkan kepada wartawan di Dewan Rakyat pagi ini.

RUU itu memperuntukkan mana-mana individu yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebarkan berita atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar, boleh disabit bersalah.

Individu yang melakukan kesalahan sama selepas disabit kesalahan pula, boleh didenda tidak lebih RM3,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan.

Fasal 2 RUU itu pula mentakrifkan berita tidak benar sebagai berita, maklumat, data dan laporan palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.

Selain itu, pihak yang menyediakan bantuan kewangan dalam penyebaran berita tidak benar boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, manakala pihak yang memiliki berita tidak benar namun tidak menghapuskannya, boleh didenda sehingga RM100,000.

RUU itu turut merangkumi kesalahan sama yang dilakukan pertubuhan perbadanan, dengan pihak seperti pengarah, ketua pegawai eksekutif, pengurus atau seumpamanya, boleh dihadapkan ke mahkamah.

Berita Harian X