Sabtu, 24 March 2018 | 4:19pm
PENGUNJUNG membuat pemeriksaan gigi di Festival GegaRia 2018 edisi keempat di Dataran Amanjaya, Meru. - Foto Abdullah Yusof
PENGUNJUNG membuat pemeriksaan gigi di Festival GegaRia 2018 edisi keempat di Dataran Amanjaya, Meru. - Foto Abdullah Yusof

Periksa gigi percuma di GegaRia

IPOH : Kurangnya kesedaran golongan belia terhadap pemeriksaan kesihatan gigi membuatkan penganjur Festival GegaRia 2018 di Dataran Amanjaya, Meru, di sini hari ini menyediakan pemeriksaan kesihatan gigi secara percuma.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pergigian Jabatan Kesihatan Perak, Dr Nur Kurshiah Selamat , berkata, kehadiran bahagian kesihatan dalam festival itu adalah untuk menekankan penjagaan kesihatan gigi kepada pengunjung terutamanya belia.

Katanya, golongan belia dilihat kurang menitikberatkan kesihatan gigi termasuk terdedah kepada tabiat merokok dan menggunakan pendakap gigi palsu.

Menurutnya, berdasarkan Kajian Kesihatan Oral Kebangsaan 2010 menunjukkan lebih daripada 90 peratus masyarakat mempunyai masalah penyakit gusi sama ada yang teruk atau tidak.

"Ini bermakna, rata-rata masyarakat tidak sedar bahawa mereka mempunyai masalah kesihatan gigi terutamanya pada bahagian gusi kerana bahagian itu adalah penyakit tanpa sedar," katanya ketika ditemui di gerai pameran kesihatan gigi di sini hari ini.

Beliau berkata, sempena festival itu, pihaknya turut menampilkan kelainan dengan menyediakan permainan serta membawa badut digelar 'G-Man Clown' untuk menarik kanak-kanak mengunjungi gerai pameran serta persembahan buskers.

"Kehadiran kami di sini untuk menekankan kesedaran kepada pengunjung terutama golongan belia, antaranya mengenai tabiat merokok, penggunaan pendakap gigi palsu dan sebagainya.

"Kita tempatkan dua doktor pergigian untuk memeriksa pengunjung secara percuma serta memberi pendedahan mengenai asas penjagaan gigi sekali gus menerangkan rawatan selanjutnya yang boleh diambil sekiranya mereka mempunyai masalah kesihatan itu.

Berita Harian X