Sabtu, 24 March 2018 | 3:01pm
REAKSI Para pelajar Asnaf LZS dari Universiti Putra Malaysia, dari kiri Ainul Yasmin Rosdi, Ainul Ashikin Rosdi dan Aishah Baharudin melihat komputer riba yang diterima sempena Majlis Program Agihan Pendidikan Pelajar Asnaf 2018 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Management & Science University (MSU), Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

LZS bantu 1,115 anak asnaf beli komputer riba

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor(LZS) memperuntukkan RM2.5 juta untuk membeli komputer riba bagi kemudahan belajar 1,115 anak asnaf negeri ini.

Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Zaharuddin Salim, berkata semua anak asnaf yang layak menerima sumbangan itu adalah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negeri.

Katanya, komputer riba itu adalah bantuan tambahan kepada pelajar kerana mereka turut menerima bantuan sara diri bulanan serta bantuan pembiayaan yuran pengajian.

"Mahasiswa ini terdiri dari pelajar tajaan LZS yang sedang mengikuti pengajian di IPT awam atau swasta.

"Pelajar yang menerima bantuan ini juga adalah mereka yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.5 ke atas selain mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan, Pengurusan Perniagaan dan Teknologi Maklumat," katanya ketika ditemui selepas Program Agihan Pendidikan Pelajar Asnaf 2018, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof Emeritus Dr Muhamad Awang; Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif dan Pengurus Besar Kanan Pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Zabiah Wan Abu Bakar.

Zaharuddin berkata, kesedaran orang ramai berkenaan tanggungjawab membayar zakat semakin meningkat yang membolehkan LZS memberikan bantuan yang lebih dan meningkat setiap tahun.

"Kesedaran orang ramai meningkatkan prestasi kutipan zakat. Dengan penambahan ini, LZS mampu membantu lebih ramai lagi asnaf dan fakir miskin dengan memberikan kehidupan lebih selesa kepada mereka," katanya.

Dalam majlis berkenaan, Wan Zabiah turut menyerahkan sumbangan 'Kasihku Zakat Selangor' berjumlah RM115,750.

Sumbangan berkenaan diserahkan kepada pelajar Tahun Satu dalam kalangan anak asnaf dan fakir miskin melalui pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM50 setiap seorang.

Berita Harian X