Jumaat, 23 March 2018 | 6:52pm
AHMAD Bukhari Abdul Halim dan isteri, Siti Faridah Abdul Halim, memangku anak kembar mereka, Ahmad Fawwaz (kanan) dan Ahmad Fayyadh (kiri) ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleneagles, hari ini. - Foto Zuhainy Zulkiffli

Bayi jantung berlubang perlu sumbangan

GEORGETOWN: Seorang bayi kembar berusia lapan bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang, memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan kira-kira RM60,000.

Siti Faridah Abdul Halim, 24, dari Permatang Pauh, berkata anaknya, Ahmad Fawwaz Ahmad Bukhari, dikesan mengalami masalah jantung berlubang sejak dilahirkan.

Sejak itu, katanya, beliau sering berulang-alik ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan kesihatan anak sulung daripada dua beradik itu.

Suri rumah itu berkata, pasangan kembar Ahmad Fawwaz, Ahmad Fayyadh, bagaimanapun, tidak mengalami masalah kesihatan.

"Memang menyedihkan melihat Ahmad Fawwaz yang masih kecil terpaksa mengambil tiga jenis ubat setiap hari dan kerap keletihan apabila bermain dengan Ahmad Fayyadh.

"Ahmad Fawwaz dijangka menjalani pembedahan pada 30 Mac ini. Saya berharap ia berjalan lancar kerana mahu melihat dia membesar dengan sihat bersama Ahmad Fayyadh," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleneagles, hari ini.

Sementara itu, suami Siti Faridah, Ahmad Bukhari Abdul Halim, 24, berkata pendapatan bulanannya sebanyak RM2,300 sebagai juruteknik, tidak mencukupi untuk menampung kos pembedahan Ahmad Fawwaz.

"Kami sudah tidak sanggup melihat penderitaan Ahmad Fawwaz dan berharap sumbangan orang ramai dapat membantu usaha merawatnya," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi tabung MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND di akaun Maybank 514105323170.

Cek juga boleh dihantar ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur, atas nama pesakit.

Berita Harian X