Rabu, 21 March 2018 | 4:21pm
PENGERUSI NIOSH Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye bersama Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh bergambar bersama penerima-penerima sijil selepas merasmikan majlis perasmian Pra Pelancaran Persidangan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan ke-21 (COSG2018) dan Persidangan Saintifik Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan ke-5 (SCICOSH2018). - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGERUSI NIOSH Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye bersama Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh bergambar bersama penerima-penerima sijil selepas merasmikan majlis perasmian Pra Pelancaran Persidangan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan ke-21 (COSG2018) dan Persidangan Saintifik Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan ke-5 (SCICOSH2018). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pantau penggunaan gajet golongan muda - NIOSH

CYBERJAYA: Penggunaan gajet dalam kalangan generasi muda terutama remaja dan kanak-kanak perlu dipantau ibu bapa bagi mengelak kesan buruk termasuk ketagihan terhadap peranti berkenaan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penggunaan alat digital yang berlebihan juga boleh mengundang masalah kepada pengguna dari sudut kesihatan dan ekonomi.

"Ia mungkin tidak berlaku sekarang, bulan depan atau tahun depan, namun lama-kelamaan jika tidak diawasi dengan baik, mereka tentu menghadapi masalah dan implikasi meluas yang serius.

"Sekiranya masalah itu berlaku, sudah tentu memerlukan perbelanjaan kos, misalnya perubatan dan rawatan terapi. Jadi, ibu bapa dinasihat supaya mengawasi anak mereka terhadap penggunaan gajet supaya tidak digunakan secara berlebihan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Prapelancaran Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-21 (COSH) 2018 dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kelima (SCICOSH) 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh.

Pada masa sama, Lam Thye berkata, kajian dibuat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mendedahkan penggunaan gajet secara berlebihan boleh mendatangkan masalah kesihatan sehingga memerlukan rawatan terapi.

"NIOSH boleh menggandakan usaha ke arah memperbanyakkan kajian terutama mengenai impak dan masalah yang boleh muncul akibat penggunaan gajet ini dari sudut ekonomi.

"Kajian ini juga boleh dijalankan secara mendalam oleh pakar dari Pusat Kecemerlangan Ergonomik NIOSH dan hasilnya itu boleh dianalisis dan dirumuskan untuk dihebahkan kepada masyarakat," katanya.

Mengulas majlis perasmian hari ini, beliau berkata, COSH 2018 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 24 dan 25 September ini yang bertemakan 'Meningkatkan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Era Digital Baharu'.

Katanya, program SCICOSH 2018 pula akan berlangsung pada 28 dan 29 November di Hotel Le Meridien Putrajaya dan ia acara dwi-tahunan yang memberi tumpuan kepada penyelidikan saintifik terkini mengenai keselamatan serta kesihatan pekerjaan termasuk berkaitan Revolusi Industri 4.0 atau IR4.0.

Berita Harian X