Selasa, 20 March 2018 | 3:55pm
ROSLEE Daud (tengah) beramah mesra bersama warga emas pada Program Kesihatan Pergigian Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak. - Foto Ghazali Kori
ROSLEE Daud (tengah) beramah mesra bersama warga emas pada Program Kesihatan Pergigian Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak. - Foto Ghazali Kori

Lima kes doktor gigi 'YouTube' dilaporkan di Terengganu

KUALA NERUS: Sebanyak lima kes doktor gigi 'YouTube' yang menawarkan perkhidmatan memasang pendakap gigi pada harga murah, direkodkan di negeri ini sejak 2015.

Daripada jumlah itu, tiga orang sudah dijatuhi hukuman denda dengan jumlah keseluruhan RM85,000, seorang dilepaskan tanpa dibebaskan, manakala satu lagi masih dalam siasatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud berkata, semua yang terbabit adalah wanita.

"Doktor gigi palsu ini hanya belajar daripada YouTube saja dan menawarkan perkhidmatan di laman sosial.

"Walaupun murah iaitu serendah RM100, risiko ditanggung pelanggan amat besar antaranya kemungkinan kehilangan gigi akibat longgar kerana tekanan pendakap berlebihan dalam masa singkat, ulser mulut dan gigi bernanah," katanya selepas Program Kesihatan Pergigian Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan (Pergigian) Jabatan Kesihatan Terengganu dan Penolong Kanan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Fairul Hisyam Mat.

Sehubungan itu, Roslee menasihatkan orang ramai tidak terlalu ghairah dengan tawaran harga murah doktor gigi YouTube sebaliknya mendapatkan perkhidmatan pakar bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu beliau berkata, kedatangan warga emas ke klinik pergigian di negeri ini menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

"Pada 2015, seramai 6,363 orang, meningkat kepada 6,856 (2016) dan 7,780 tahun lalu.

"Daripada jumlah ini, hanya 1,688 mempunyai gigi lebih 20 batang," katanya.

Berita Harian X