Isnin, 19 March 2018 | 9:54pm
SHAMSUL Anuar Amat Kasi,47 (basikal depan) dan Mohd Shahir Ramli, 28, OKU penglihatan bersama jurumudi mereka tiba di Penjara Sungai Petani petang tadi. - Foto Omar Osma
SHAMSUL Anuar Amat Kasi,47 (basikal depan) dan Mohd Shahir Ramli, 28, OKU penglihatan bersama jurumudi mereka tiba di Penjara Sungai Petani petang tadi. - Foto Omar Osma

Buta mata, 'celik' kaki

SUNGAI PETANI: Buta bukan alasan buat dua lelaki untuk berkayuh sejauh 1,505 kilometer (km), sekali gus mencatat nama dalam The Malaysia Book Of Records (MBR).

Biar diuji dengan cuaca terik, Mohd Shahir Ramli, 28 dan Presiden Persatuan Sukan Rekreasi OKU Penglihatan Negeri Sembilan, Shamsul Anuar Amat Kasi, 47, setakat ini berjaya berkayuh sejauh 940 km, dengan bantuan jurumudi masing-masing.

Mereka adalah antara tiga peserta orang kelainan upaya (OKU), yang mengambil bahagian dalam acara Kayuhan Basikal Jelajah Malaysia 2018, membabitkan 36 peserta.

Seorang lagi peserta OKU adalah Azman Yeop Akin, 47, yang kudung kaki kanan.

Acara itu bermula dari Rembau, Negeri Sembilan pada 10 Mac lalu dan dijangka berakhir pada 25 Mac nanti di Dataran Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mohd Shahir berkata, beliau yakin dapat menamatkan kayuhan dengan kerjasama erat jurumudinya Pahamin Abdul Hamid, 35.

"Biar pun cuaca begitu panas sejak mula berkayuh sembilan hari lalu, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat saya untuk terus berkayuh.

"Keletihan memang terasa ketika mendaki bukit di Grik sejauh 40 km. Memang memeritkan, namun kekuatan fizikal dan mental serta kesabaran membolehkan saya dan jurumudi berjaya melepasi halangan.

"Dalam kayuhan ini, saya tidak terlalu memikirkan untuk mencatat rekod MBOR kerana ia boleh memberi tekanan. Apa yang penting bagi saya adalah melengkapkan kayuhan, insya-Allah hingga ke garisan penamat," katanya ketika ditemui sebaik tiba di pekarangan Penjara Sungai Petani, petang tadi.

Ketibaan mereka disambut Pengarah Penjara Sungai Petani, Raja Nazriz Iskandar Raja Azam serta kakitangannya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, beliau tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang sembilan hari kayuhan kerana mendapat kerjasama baik rakan jurumudinya, Mohd Fahmi Ab Hamid, 35.

"Setakat ini, kami sudah melepasi tujuh destinasi dengan kayuhan sejauh 940 km. Esok, kayuhan akan diteruskan ke Taiping dan seterusnya hingga destinasi terakhir iaitu Dataran Teluk Kemang.

"Kayuhan ini sebenarnya bagi menunjukkan semangat solidariti pada semua pihak supaya golongan OKU juga diberi keutamaan dalam pembangunan di negara ini, khususnya dalam bidang sukan," katanya.

Berita Harian X