Ahad, 18 March 2018 | 8:07pm
ARUL Kanda pada Program Bicara Negara Mengenai Isu Semasa di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran
ARUL Kanda pada Program Bicara Negara Mengenai Isu Semasa di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran

'Mereka saja tak mahu faham'

IPOH: Pembangkang terus-menerus menjadikan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai sasaran kritikan kerana sudah kehabisan modal untuk menghentam kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berkata kerajaan melaksanakan pelbagai langkah berkesan dalam mentadbir dan membangunkan negara, selain mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, isu 1MDB terus kedengaran dan cenderung dipolitikkan serta dimanipulasi pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Pembangkang tidak boleh menentang dasar kerajaan, maka mereka gunakan isu 1MDB.

"Ia adalah isu lama yang sudah selesai tetapi pembangkang terus menggunakannya untuk dapatkan sokongan"

"Mereka bukan tak faham, mereka tak mahu faham. Kita dapat lihat dengan adanya 1MDB, pelaburan asing meningkat, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat, pendapatan negara juga meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Negara Mengenai Isu Semasa di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Arul Kanda berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, terus dikaitkan kerana pernah menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

"Kuasa beliau hanya memberi nasihat dan oleh kerana kedudukannya, pembangkang menganggap Perdana Menteri bertanggungjawab walaupun tidak mempunyai kuasa eksekutif," katanya.

Katanya, isu saman sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mendakwa kononnya dana 1MDB diseleweng turut menjadi modal pembangkang.

"Saman sivil oleh DOJ ini difailkan pada Julai 2016, sampai hari ini belum masuk mahkamah.

"(Bekas Peguam Negara Amerika Syarikat) Loretta Lynch dalam sidang media beriya-iya mengatakan ia mencurigakan dan satu bentuk penipuan tetapi sampai hari ini belum ke mahkamah," katanya.

Berita Harian X