Jumaat, 16 March 2018 | 3:12pm
MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar hadir merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Di Air 2018 yang diadakan di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria
MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar hadir merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Di Air 2018 yang diadakan di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

KPKT cadang wujud undang-undang keselamatan di air

PORT DICKSON: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang mewujudkan undang-undang keselamatan di air bagi menangani kes mati lemas yang semakin meningkat.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata undang-undang itu bertujuan menguatkuasakan papan tanda arahan larangan mandi yang ditempatkan di beberapa kawasan berisiko termasuk pantai, air terjun dan sungai.

Katanya, ketika ini kebanyakan arahan larangan mandi itu tidak diendahkan orang ramai.

"Oleh itu, dengan adanya undang-undang ini nanti, orang ramai akan patuh demi keselamatan diri. Sama seperti jika tidak pakai topi keledar untuk keselamatan diri boleh dikenakan denda.

"Kita juga sudah meminta Jabatan Kerajaan Tempatan untuk melihat bentuk undang-undang yang sesuai sama ada undang-undang baharu atau pindaan undang-undang sedia ada," katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Air 2018 di Pantai Cahaya Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias; Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.

Noh berkata, statistik JBPM menunjukkan kejadian lemas meningkat sebanyak 67 kes daripada 260 kes pada 2016 kepada 327 kes tahun lalu, manakala dari Januari sehingga Februari lalu, sebanyak 65 kes lemas direkodkan.

Katanya, ketika ini jabatan itu turut mengenal pasti 12 kawasan sebagai berisiko tinggi dan 34 kawasan berisiko di seluruh negara.

"Kawasan kategori berisiko tinggi ini adalah berdasarkan kejadian mati lemas melebihi lima mangsa," katanya.

Semua 12 kawasan dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi adalah Sungai Kampung Batu Payung di Sabah; Sungai SKC Kampung Timah, Sungai Chiling, Sungai Gasi, Air Terjun Sungai Sendat dan Empangan Semenyih di Selangor.

Sungai Kampung Sabak, Pantai Nipah dan Muara Tok Bali di Kelantan. Air Terjun Lata Berembun dan Air Terjun Chamang di Pahang serta Teluk Bahang di Pulau Pinang.

Berita Harian X