Rabu, 7 March 2018 | 3:31pm
AHLI Parlimen Pematang Puah, Datuk Seri Wan Azizah ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
AHLI Parlimen Pematang Puah, Datuk Seri Wan Azizah ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

PARLIMEN: Sesi perbahasan kecoh

KUALA LUMPUR: Perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sebelum Dewan Rakyat berhenti rehat tengah hari tadi, kecoh ketika penyokong kerajaan membangkitkan keperluan menggubal akta bagi menangani penularan berita palsu.

Pertikaman lidah yang berlarutan hampir setengah jam itu berlaku sebaik Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) memulakan perbahasan selepas selesai giliran Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membahaskan usul berkenaan.

Bung Moktar membangkitkan isu penyebaran berita palsu terutama daripada pemimpin pembangkang yang cuba menghasut rakyat termasuk menggunakan pentas ceramah politik.

"Untuk sementara waktu ini, sebelum ada akta baharu ini, biarlah mereka menyebar berita palsu sebab saya percaya rakyat tidak akan termakan hasutan mereka," katanya.

Beliau turut berpantun bagi menggambarkan sikap pembangkang yang suka menyebarkan fitnah dan berita palsu:

Apa diharap padi seberang,

Entah dimakan pipit melayang,

Apa diharap parti pembangkang,

Banyak bohong lagi temberang.

Kenyataan Bung Moktar menafikan dakwaan Malaysia muflis dengan memberi petunjuk ramai rakyat berkunjung ke luar negara tahun lalu ditempelak Tian Chua (PKR-Batu) yang menggunakan isu kapal layar mewah milik individu tertentu dirampas di Indonesia.

"Inilah contoh pemimpin pembangkang yang cuba sebarkan berita palsu, mana ada mahkamah yang mengesahkan ia milik rakyat Malaysia," kata Bung Moktar.

Pertelagahan itu turut menarik beberapa penyokong kerajaan untuk mencelah, antaranya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong), Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) dan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu).

Sesi turut membabitkan wakil rakyat pembangkang lain antaranya Teresa Kok (DAP-Seputeh), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Nga Kor Ming (DAP-Taiping).

Bung Moktar turut menempelak pemimpin pembangkang khususnya Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang mendakwa kononnya membongkar penyelewengan kerajaan seperti dalam isu skandal projek National Feedlot Corporation (NFC) sedangkan perkara itu terkandung dalam Laporan Audit Negara.

"Rafizi sudah kalah, Batu (Tian Chua) juga, kerajaan siasat semua benda, skandal air Sabah, tanah Ijok, orang UMNO pun kena siasat, bukan pembangkang saja, ini tindakan bukan pilih bulu," katanya.

Dalam pada itu, Marcus mendakwa ramai penyokong pembangkang di Sabah keluar parti sebab hilang kepercayaan kepada DAP dan PKR.

"Ini kerana orang Sabah orang terpelajar, bukan bodoh, pembangkang `pembuyuk', penipu, tukang temberang," katanya ketika mencelah.

Tian Chua bangun dan membantah penggunaan perkataan `pembuyuk' yang membawa maksud penipu kerana mendakwa perkataan itu tidak mengikut peraturan Parlimen, namun tindakannya hanya mengundang ketawa dalam kalangan ahli dewan.

Bung Moktar turut mendakwa pemimpin pembangkang bercelaru berhubung kenyataan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menjelaskan Datuk Seri Najib Razak tidak terbabit dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Pembangkang lain kata kenapa tidak disiasat, saya rasa pembangkang sampai ke tahap sudah tidak ada isu untuk mengelirukan rakyat.

"Saya cadangkan kerajaan memperkenalkan silibus pengetahuan politik kepada pelajar untuk mendedahkan anak muda dengan ilmu politik," katanya.

Berita Harian X