Isnin, 5 March 2018 | 12:14pm
YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto BERNAMA

Agong sokong undang-undang tangani berita palsu

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, berkenan menzahirkan sokongan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial.

Baginda bertitah, media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai dan budaya sesuatu masyarakat di negara ini.

"Bagaimanapun, semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan pelbagai nilai baik masyarakat.

"Dalam hal ini, beta amat menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keenam Parlimen Ke-13, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, dilaporkan berkata jawatankuasa khas dibentuk bagi mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu.

Ia selaras usaha kerajaan dalam menangani ancaman kestabilan politik, sekali gus menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Malaysia kini mengguna pakai Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu untuk membanteras penyebaran kandungan berita palsu serta fitnah.

Berita Harian X