Ahad, 4 March 2018 | 3:45pm
KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berucap pada majlis perasmian eminar Transformasi Rakyat (STAR) Kem 2018 peringkat Parlimen Balik Pulau di Politeknik Balik Pulau. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berucap pada majlis perasmian eminar Transformasi Rakyat (STAR) Kem 2018 peringkat Parlimen Balik Pulau di Politeknik Balik Pulau. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Jumlah kakitangan awam tidak dikurangkan: KPPA

BALIK PULAU: Kerajaan tidak akan mengecilkan jumlah kakitangan awam manakala proses pengambilan pekerja baharu akan diteruskan mengikut keperluan semasa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata langkah itu bagi menampung kekurangan hampir 38,000 penjawat awam yang bersara setiap tahun.

Katanya, pendekatan itu sekali gus bertentangan dengan cadangan pihak tertentu yang mahu mengecilkan jumlah penjawat awam jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

"Kita sebaliknya membuka pengambilan penjawat awam baharu dari semasa ke semasa setiap tahun bagi mengisi kekosongan ekoran persaraan kakitangan sedia ada mengikut jumlah dan keperluan yang sama.

"Peluang sentiasa ada dalam sektor perkhidmatan awam dan mana-mana individu yang mempunyai kelayakan boleh mengemukakan permohonan bagi setiap kekosongan.

"Justeru, tidak timbul isu penjawatan bagi kakitangan awam dibekukan mahu pun kerajaan berhenti mengambil pengambilan kakitangan baharu, sebaliknya akan mewujudkan penjawatan baharu seiring dengan perubahan semasa," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Zainal Rahim turut merasmikan Seminar Transformasi Rakyat (STAR) Kem 2018 peringkat Parlimen Balik Pulau di Politeknik Balik Pulau, yang turut dihadiri, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Sebelum ini, Ketua Publisiti DAP, Tony Pua menyifatkan bilangan kakitangan awam sedia ada membebankan kedudukan kewangan negara, selain bercadang mengurangkan jumlahnya, sekiranya menang pada PRU-14 nanti.

Mengulas isu kakitangan tidak menyokong kerajaan dengan alasan kos sara hidup yang tinggi, Zainal Rahim berkata, perkara itu tidak timbul kerana gaji penjawat awam adalah seiring dengan keperluan semasa.

Beliau berkata gaji kakitangan awam adalah setimpal dengan perubahan semasa, termasuk dalam keadaan kadar inflasi pada tahap 0.4 peratus.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, Kerajaan Persekutuan sentiasa mencari jalan terbaik untuk tambah baik gaji penjawat awam dari semasa ke semasa.

"Kita juga sentiasa fikir untuk meneliti skim penggajian kakitangan awam setiap tahun, selain kenaikan dicatatkan sebanyak 28 peratus sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri yang mana ia sangat luar biasa," katanya.

Berita Harian X