Khamis, 1 March 2018 | 10:11am

Gajah 'cari makan' di kantin sekolah

TELUPID: Pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, di sini, gempar pagi ini apabila seekor gajah masuk ke dalam kantin asrama.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi tadi, seekor gajah masuk ke kawasan sekolah berkenaan sebelum berkeliaran sekitar kantin asrama.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V Shivananthan, berkata tiada individu dilaporkan cedera susulan kejadian itu dan anggota polis turut dihantar ke lokasi itu untuk membuat pemantauan serta membantu pihak sekolah.

"Berdasarkan laporan, kejadian gajah masuk ke kawasan asrama itu sudah beberapa kali." katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam media melaporkan, kegusaran penduduk berkaitan 'konflik gajah dengan manusia' di kawasan Telupid, yang semakin menjadi-jadi apabila Balai Polis Telupid, turut 'diceroboh' sekumpulan haiwan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi kelmarin, 10 ekor gajah masuk ke dalam kawasan balai polis itu selepas merosakkan pagarnya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga, berkata setakat ini lima gajah termasuk seekor anak gajah sudah ditangkap, dengan satu daripadanya iaitu gajah betina sudah dipindahkan ke Hutan Simpan Imbak, Isnin lalu.

Dua daripada lima gajah Pygmy Borneo yang ditangkap selepas menceroboh beberapa perkampungan di sini sejak lebih sebulan lalu juga sudah dipasang kolar satelit.

Dua gajah masing-masing betina dan jantan itu adalah daripada lebih 20 gajah yang dikesan berkeliaran di sekitar enam lokasi di sini, sejak Januari lalu.

Seekor gajah liar masuk dalam kantin asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, kira-kira jam 6 pagi tadi. - Foto ihsan Pembaca
Seekor gajah liar masuk dalam kantin asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, kira-kira jam 6 pagi tadi. - Foto ihsan Pembaca
Berita Harian X