Isnin, 26 Februari 2018 | 7:33pm
KETUA Pemuda Barisan Nasional (BN) Sepang, Noorazli Said ( tengah) bersama Guru Besar Sekolah Kebangsaan Olak Lampit, Aziz Kedol bergambar dengan pelajar selepas menyerahkan sumbangan akhbar Berita Harian dan sisipan Didik. -Foto Samadi Ahmad

Calon UPSR SK Olak Lempit terima sisipan Didik

SEPANG: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sepang menaja sisipan Didik keluaran akhbar BH bernilai RM5,000 kepada 156 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit di sini.

Sumbangan itu sebagai usaha membantu meningkatkan penguasaan bahasa calon yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pengerusi Pemuda BN Sepang, Noorazli Said, berkata usaha itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya di samping menyahut seruan kerajaan bagi memasyarakatkan sekolah.

Katanya, sumbangan itu antara usaha membantu murid memperoleh keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan melalui sisipan BH.

"CSR yang dilaksanakan ini dapat memberikan semangat dan motivasi kepada murid khususnya yang tinggal di luar bandar terutama dalam mementingkan pendidikan untuk masa hadapan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sisipan berkenaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Olak Lempit, Aziz Kedol; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Olak Lempit, Abd Nasir Jajuli dan Ketua UMNO Cawangan Olak Lempit, Azifal Aziz.

Tajaan sisipan Didik BH anjuran Pemuda BN Sepang itu memasuki tahun kedua selepas di SK Batu Laut pada tahun lalu.

Noorazli yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan berkata, walaupun usaha itu dilihat kecil, matlamatnya sangat besar kerana dapat mewujudkan semangat membaca dan menguasai pengetahuan am dalam kalangan murid.

Katanya, pihaknya berharap ia dapat membantu murid dan guru memanfaatkan akhbar dan sisipan Didik dalam BH untuk membantu kecemerlangan murid dalam peperiksaan akan datang.

Sementara itu, Aziz berkata, pihaknya sangat berbesar hati menerima sumbangan akhbar berkenaan dalam memanfaatkan murid khususnya murid Tahun Enam yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini.

Katanya, murid sebelum ini memang melanggan akhbar dan sisipan BH dengan membeli sendiri untuk digunakan sebagai akhbar dalam darjah serta berharap ada pihak yang sudi menyumbang pada masa hadapan.

Berita Harian X