Isnin, 19 Februari 2018 | 8:56pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan pesakit ketika meluangkan masa melawat Pusat Pembedahan Katarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-Hospital Selayang, hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan pesakit ketika meluangkan masa melawat Pusat Pembedahan Katarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-Hospital Selayang, hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat cara rawatan yang digunakan untuk merawat pesakit mata ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pembedahan Katarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-Hospital Selayang, hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat cara rawatan yang digunakan untuk merawat pesakit mata ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pembedahan Katarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-Hospital Selayang, hari ini. - Foto BERNAMA

PM umum tambahan dana RM3j

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini meluangkan masa melawat Pusat Pembedahan Katarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-Hospital Selayang, pusat rawatan pertama seumpamanya yang wujud di negara ini.

Perdana Menteri menyifatkan kewujudan pusat rawatan itu membantu mengelak pesakit bersesak untuk mendapatkan rawatan, selain menjimatkan masa menunggu dan tidak membebankan rakyat kerana kos dikenakan serendah RM103.

"Singgah melawat Pusat Pembedahan Katarak MAIWP di Jalan Ipoh hari ini, pusat pertama seumpamanya di Malaysia.

"Sekarang pesakit tak perlu bersesak, waktu menunggu jauh lebih singkat, kos rawatan pun serendah RM103. Kerajaan terus sediakan yang terbaik untuk rakyat," katanya dalam entri akaun Twitter rasminya yang turut dikongsi menerusi akaun Facebook.

Sempena lawatan itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian dana tambahan RM3 juta kepada pusat rawatan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang mengiringi Najib dalam lawatan berkenaan, menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman dana berkenaan bagi menyokong perkhidmatan di pusat itu.

"Peruntukan ini akan digunakan untuk membeli lebih banyak peralatan canggih dan terkini bagi kegunaan pesakit yang menerima rawatan di pusat pembedahan katarak unik ini," katanya yang dikongsi menerusi status Facebook rasminya.

Beliau berkata, pusat rawatan itu adalah contoh kerjasama pintar strategik antara MAIWP dan Kementerian Kesihatan.

"MAIWP menyumbang dana bagi membeli dan membangunkan lot kedai di Jalan Ipoh, bagi dijadikan pusat pembedahan rawatan harian serta menyediakan peralatan canggih untuk pembedahan katarak.

"Kementerian menyediakan pasukan kepakaran mata untuk memberikan perkhidmatan terbaik pada kadar mampu milik bagi rakyat," katanya.

Katanya, pusat berkenaan menerima 12,100 pesakit sejak ditubuhkan pada 2013, yang mana pesakit hanya perlu membayar RM103 untuk pembedahan, manakala pesakit kurang berkemampuan diberi rawatan percuma.

"Ini jauh berbeza dengan caj rawatan sekurang-kurangnya RM3,000 sehingga berbelas ribu jika dijalankan di hospital atau klinik mata swasta," katanya.

Berita Harian X