Isnin, 19 Februari 2018 | 6:50pm
PRESIDEN MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Kabinet bagi Masyarakat India (CCIC) di Putrajaya, hari ini. - Foto Aizuddin Saad
PRESIDEN MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Kabinet bagi Masyarakat India (CCIC) di Putrajaya, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Inisiatif galak kaum India sertai ATM

PUTRAJAYA: Satu program khusus menerusi Inisiatif Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) akan dilancarkan bulan depan, dalam usaha menambah bilangan masyarakat India berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata ketika ini hanya 1.6 peratus daripada keseluruhan masyarakat India di negara ini berkhidmat dengan ATM.

Menurutnya, inisiatif itu selaras dengan Pelan Tindakan Pembangunan Masyarakat India (MIB) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam Bajet 2018 untuk mencapai sasaran kuota tujuh peratus masyarakat India berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

"Sejajar usaha meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat India, SEDIC sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan.

"Mereka memberi kerjasama baik terutama ATM yang bersetuju meningkatkan pengambilan masyarakat India dari segi keanggotaan di semua peringkat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Kabinet bagi Masyarakat India (CCIC) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata, sejumlah 317 juta unit daripada keseluruhan 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) untuk masyarakat India dilanggan sejak dibuka pada 29 Januari lalu, membabitkan kira-kira 41,000 pelabur.

Beliau berkata, pengagihan AS1M oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) bertujuan menggalakkan masyarakat India melabur dalam dana unit amanah.

"Kita akan mempromosi dan meningkatkan kesedaran masyarakat India mengenai kepentingan melabur dan menggunakan peluang ini sambil berharap semua 1.5 bilion unit amanah itu dapat dilanggan dalam tempoh enam bulan selepas pelancarannya," katanya.

Berita Harian X