Sabtu, 17 Februari 2018 | 5:44pm

Perluas skop undang-undang berita palsu

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperluaskan skop undang-undang berita palsu dengan turut memasukkan beberapa isu dan masalah lain yang berkaitan di media sosial dan internet.

Pakar undang-undang siber, Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin, berkata undang-undang terbabit yang akan dibentangkan dalam Kabinet selepas Tahun Baru Cina, disifatkan sempit jika hanya membabitkan berita palsu semata-mata.

Katanya, ia berikutan beberapa undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan, sudah mencukupi untuk menangani penyebaran berita palsu.

"Jika undang-undang ini hanya bertujuan menangani berita palsu di alam siber, saya rasa ia agak sempit, namun jika ia turut digunakan untuk menangani masalah lain berkaitan alam siber dan media sosial, ia amat sesuai.

"Antara perkara lain yang perlu dimasukkan ialah penyebaran iklan di media sosial mengenai produk yang tidak mendapat kebenaran seperti ubat-ubatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

"Ia juga perlu meliputi kesalahan menyebarkan perkara bersifat peribadi seperti gambar atau video yang mengaibkan kerana undang-undang sedia ada tidak cukup untuk menangani perkara seumpamanya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Haidar berkata, undang-undang khusus Kanun Keseksaan boleh digunakan bagi mengekang penyebaran berita palsu yang menimbulkan kegelisahan dan mengganggu ketenteraman awam.

"Tetapi, masalah bagi undang-undang ini ialah keperluan untuk membuktikan niat, menjadikan beban pembuktian di mahkamah agak berat.

"Undang-undang khusus menangani berita palsu mungkin boleh menangani beban pembuktian ini, namun tafsiran berita palsu dan kesalahan lain dalam akta berkenaan perlu jelas lagi khusus," katanya.

Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata tafsiran berita palsu dalam akta itu adalah antara perkara rumit kerana ia bakal menimbulkan masalah, khususnya pembuktian kes di mahkamah, jika tidak diperhalusi dengan tepat.

"Masalah akan timbul mengenai sama ada pandangan peribadi seseorang yang tidak tepat dan ditulis di media sosial, akhbar atau portal berita, boleh dikategorikan sebagai berita palsu.

"Jika pemberitaan tidak tepat oleh wartawan, adakah ia juga berita palsu? Disebabkan itu, penting untuk dikhususkan tafsiran berita palsu," katanya.

Haidar berkata, penguatkuasaan dan pemantauan di media sosial adalah antara isu yang perlu diatasi dalam akta itu kerana ia membabitkan perkara teknikal.

"Media baharu seperti Whatsapp, Wechat dan Facebook membabitkan perkara teknikal. Contohnya, pemilik tidak semestinya orang yang menulis, atau pelaku boleh menggunakan alasan digodam dan seumpamanya," katanya.

Berita Harian X