Khamis, 15 Februari 2018 | 10:04am
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya (empat kiri) menyerahkan replika cek kepada ahli Lembaga Pelawat Hospital pada Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan PPKK Perak di Ipoh, malam tadi. - Foto Farah Suhaidah Othman

Hospital, klinik terima dana aktiviti kesihatan bersama masyarakat

IPOH: Kementerian Kesihatan menyerahkan dana bernilai lebih setengah juta ringgit kepada 15 hospital dan 79 klinik kesihatan di Perak bagi menjalankan aktiviti kesihatan bersama masyarakat, tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, berkata dana berkenaan diberikan kepada 15 Lembaga Pelawat Hospital, termasuk Hospital Bahagia Ulu Kinta, dan 79 Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK).

Katanya, setiap Lembaga Pelawat Hospital dan PPKK terbabit masing-masing menerima bantuan kewangan RM10,000 serta RM5,000.

"Bantuan kewangan itu dimasukkan terus ke dalam akaun setiap hospital dan klinik kesihatan bagi membolehkan aktiviti kesihatan dijalankan bersama masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan PPKK Perak yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Hassan Merican, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata, aplikasi khas secara dalam talian bakal dilaksanakan tidak lama lagi, bagi menyelesaikan masalah pesakit menunggu lama untuk menerima rawatan di hospital atau klinik kesihatan.

Katanya, perincian mengenai sistem itu masih dalam perbincangan, namun projek perintis akan dilaksanakan di Klinik Kesihatan Seri Kembangan, Selangor.

"Pesakit ada pilihan sama ada membuat tempahan secara dalam talian atau pergi ke klinik mengambil nombor giliran.

"Maknanya, jika pesakit sudah mendapat nombor, sistem berkenaan akan memaklumkan nombor pesakit yang sedang menerima rawatan ketika itu. Justeru, pesakit tidak perlu datang seawal jam 6.30 pagi untuk menunggu giliran.

"Sistem itu menarik dan pada masa sama, sangat interaktif (kepada pesakit)," katanya.

Berita Harian X