Isnin, 12 Februari 2018 | 7:54pm
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Dr Mahdzir Khalid dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bergambar bersama para peserta Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid selepas merasmikan seminar anjuran Kementerian Pendidikan itu, hari ini.Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. - Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Dr Mahdzir Khalid dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bergambar bersama para peserta Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid selepas merasmikan seminar anjuran Kementerian Pendidikan itu, hari ini.Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. - Foto BERNAMA

Kadar jenayah pelajar masih rendah - KPN

PUTRAJAYA: Kadar gejala jenayah membabitkan murid dan pelajar sekolah masih di tahap rendah dan terkawal, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Katanya, daripada lebih lima juta murid dan pelajar di 10,200 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, hanya kira-kira 1,000 pelajar atau kurang satu peratus terbabit dalam gejala sosial serta pelakuan jenayah.

"Berdasarkan nisbah keseluruhan murid, ia masih terkawal dan segala tindakan yang dilakukan termasuk mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) hanyalah untuk memperbaiki keadaan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, keupayaan membendung masalah sosial dan salah laku jenayah dalam kalangan pelajar itu terhasil melalui kerjasama rapat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut mengingatkan pihak sekolah supaya tidak menyembunyikan sebarang bentuk salah laku disiplin demi menjaga nama baik sekolah supaya polis melalui PPS dapat mengambil langkah sewajarnya.

Bagi memantapkan lagi langkah mengekang masalah disiplin, jenayah, buli dan gengsterisme di sekolah, Mohamad Fuzi berkata PDRM merancang menempatkan PPS di semua sekolah di seluruh negara pada masa akan datang.

"Berikutan kekangan keanggotaan, PPS tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada setiap sekolah, sebaliknya hanya menumpukan kepada 402 sekolah dalam kategori 'hotspot' dan sekolah tertentu yang dikenal pasti mempunyai kes salah laku dan masalah disiplin," katanya.

PPS yang membabitkan seorang pegawai dan anggota lain-lain pangkat diwujudkan bertujuan memantau keselamatan dan disiplin pelajar selain turut menjadi mekanisme dalam mengekalkan komunikasi berterusan antara PDRM dan sekolah selain menyusun langkah terbaik dalam menangani masalah disiplin di sekolah di bawah seliaan masing-masing.

Sementara itu, Mahdzir berkata kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan PDRM menyaksikan beberapa program menangani salah laku disiplin murid dilaksanakan antaranya Program Remaja Berwawasan yang membabitkan 29,200 murid, Kelab Pencegahan Jenayah yang disertai 33,113 pelajar daripada 5,865 uah sekolah.

Katanya, pendekatan PDRM melalui PPS membantu memupuk kesedaran berkaitan perlakuan jenayah dalam kalangan murid sekali gus berupaya meningkatkan sahsiah golongan tersebut yang akhirnya membawa kepada peratus melakukan salah laku di dalam atau luar sekolah menurun. - BERNAMA

Berita Harian X