Ahad, 11 Februari 2018 | 3:26pm
MUHAMAD Danish Izzuddin memotong kek bersama ibunya, Siti Muzalina dan bapanya, Syaiful Khairy (kanan) serta anggota bomba ketika sambutan hari lahirnya di BBP Alor Setar. - Foto Zuliaty Zulkiffli
MUHAMAD Danish Izzuddin memotong kek bersama ibunya, Siti Muzalina dan bapanya, Syaiful Khairy (kanan) serta anggota bomba ketika sambutan hari lahirnya di BBP Alor Setar. - Foto Zuliaty Zulkiffli
MUHAMAD Danish Izzuddin diberi peluang menaiki motosikal RIM oleh anggota bomba dan Ketua BBP Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah (dua dari kiri) sempena sambutan hari lahirnya di BBP Alor Setar. - Foto Zuliaty Zulkiffli

KETUA BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba, Ahmad Naufal Abdullah (kanan) dan anggotanya menunjukkan cara memegang hos kepada Muhamad Danish Izzuddin sempena sambutan hari lahirnya di BBP Alor Setar. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Sambut hari lahir di balai bomba

ALOR SETAR: Kanak-kanak lelaki, Muhamad Danish Izzuddin Syaiful Khairy, 5, menerima kejutan pada hari ulang tahun kelahirannya apabila diberi peluang memakai seragam bomba pada majlis sambutan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar.

Ibunya, Siti Muzalina Morad, 39, berkata dia membuat kejutan untuk anak keempat daripada lima beradik itu kerana Muhamad Danish Izzuddin sangat minat dengan pasukan bomba hinggakan hampir setiap hari dia akan bercerita mengenai bomba.

Katanya, setiap hari ketika melalui hadapan JBPM Kedah untuk ke pusat asuhan di Taman PKNK, Muhamad Danish Izzuddin sering menyatakan minatnya pada pasukan beruniform itu.

"Setiap kali lalu di sini dia akan beritahu saya dan suami, Syaiful Khairy Mahadzir, 42, yang dia suka tengok bomba seperti dalam rancangan kartun Upin Ipin bersama bomba sebelum ini.

"Disebabkan itulah saya dan suami merancang untuk menyambut hari lahirnya di sini dan terus menghantar e-mel kepada bahagian perhubungan awam JBPM Kedah, minggu lalu dan dua hari kemudian kami menerima emel balas dari JBPM.

"Alhamdulillah, kami dapat merealisasikan impian anak kami untuk menjadi anggota bomba walaupun sehari dan disambut dengan 22 anggota bomba serta hampir 50 jemputan termasuk ahli keluarga dan sahabat handai," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Siti Muzalina dan suaminya yang bekerja di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, berkata mereka tidak menyangka pihak bomba akan memberi peluang untuk mengadakan majlis itu kerana pasukan itu sentiasa sibuk dengan tugas menyelamat setiap hari.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Pengarah JBPM Kedah, Abdul Razak Muda dan semua yang menjayakan majlis.

"Pada awalnya, kami cuma mohon untuk 'pinjam' balai ini bagi meraikan majlis hari lahir anak saya di sini tetapi tak sangka pula pasukan bomba turut bertungkus-lumus menghiaskan tempat selain mengadakan pelbagai acara untuk kanak-kanak dan kempen kesedaran," katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah, berkata walaupun sibuk dengan tugas, anggotanya tetap meneruskan majlis seperti dirancang untuk merealisasikan impian kanak-kanak itu sebagai anggota bomba.

Katanya, mereka membuat kejutan apabila memakaikan Muhamad Danish Izzuddin seragam bomba cilik serta maskot yang dipakai ahli keluarga mereka.

"Selain sambutan hari lahir, ia juga dapat mendekatkan bomba dengan masyarakat kerana kita turut mengadakan kempen kesedaran kebakaran serta memberi jemputan melihat ular di taman yang disediakan di sini," katanya.

Berita Harian X