Jumaat, 9 Februari 2018 | 7:12pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Lampu Jalan Kampung Fasa 8 Negeri Johor di Padang Awam Bukit Mor, Muar. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Lampu Jalan Kampung Fasa 8 Negeri Johor di Padang Awam Bukit Mor, Muar. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pengurangan kadar tol Linkedua bukan gula-gula politik: PM

MUAR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan langkah kerajaan mengurangkan kadar levi dan tol di laluan kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) bukan 'gula-gula' pilihan raya.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, keputusan itu hasil perbincangan dengan Kerajaan Singapura menerusi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura baru-baru ini, dalam usaha menggalakkan kenderaan menggunakan laluan itu, sekali gus mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

"Memang kita buat dasar sedemikian, kita terpaksa mendapat persetujuan Singapura, kita tak boleh umum secara uniliteral (sebelah pihak). Jadi, Singapura tiada apa-apa (kaitan) dalam pilihan raya," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Lampu Jalan Kampung, di Bukit Mor, di sini, hari ini.

Najib berkata, langkah itu juga dibuat bagi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu.

"Saya diberitahu ada sebahagian daripada mereka terpaksa bangun seawal jam 3 pagi untuk mengelak kesesakan di Tambak Johor.

"Jadi, kalau ada langkah itu, ia boleh membantu mereka," katanya.

Selain itu, Najib berkata, pengurangan kadar tol dan levi itu juga dapat menggalakkan rakyat Singapura dan pelawat lain yang turun di lapangan terbang di republik itu melawat Malaysia terutama Johor.

Beliau berkata, ia sekali gus dapat meningkatkan jumlah kedatangan pelancongan asing yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Katanya, kedua-dua negara juga bersetuju supaya Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meningkatkan kekerapan perjalanan kereta api daripada 26 kepada 31 perjalanan setiap hari.

"Ini membolehkan KTMB membawa 1,500 penumpang tambahan menyeberangi Tambak Johor setiap hari.

"Ini juga adalah cadangan yang kita bawa dan hasil daripada perbincangan saya dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong," katanya.

Berita Harian X