Selasa, 6 Februari 2018 | 5:04pm
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) menjawab pertanyaan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan Tambak Johor dan Linkedua di Bangunan Perdana Putra hari ini.Turut sama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) menjawab pertanyaan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan Tambak Johor dan Linkedua di Bangunan Perdana Putra hari ini.Turut sama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto BERNAMA

Levi pengangkutan, tol lebih murah di Linkedua

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengumumkan pengurangan kadar levi kenderaan perdagangan dan tol lebih murah di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) tidak lama lagi bagi mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor selain menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan Linkedua.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengumuman itu dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan Di Tambak Johor dan Linkedua yang dipengerusikannya, hari ini akan membawa cadangan pengurangan kadar levi dan tol itu ke mesyuarat Kabinet esok untuk diteliti sebelum diputuskan Perdana Menteri.

"Pengurangan kadar levi baru itu penting bagi menarik lebih banyak kenderaan perdagangan untuk menggunakan Linkedua, sekali gus menyuraikan kesesakan teruk di Tambak Johor.

"Bagaimanapun, kadar levi kenderaan perdagangan di laluan Tambak Johor masih dikekalkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Beliau berkata langkah mengurangkan kadar levi itu dijangka dapat mengurangkan sehingga 40 peratus kenderaan perdagangan di Tambak Johor.

Laporan media sebelum ini menyebut kadar levi kenderaan komersial di Linkedua akan diturunkan kepada hanya RM50 berbanding RM200 bertujuan menggalakkan penggunaan laluan itu, sekali gus mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat sama turut bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan Di Tambak Johor dan Linkedua dinaikkan taraf kepada badan bertindak khas yang akan membincangkan penyelesaian jangka panjang terhadap kesesakan di laluan itu.

Katanya beliau juga mahu pihak Singapura menubuhkan badan yang sama supaya mesyuarat berkala dapat dilakukan secara bersama bagi menyelesaikan masalah jangka pendek, sederhana dan panjang di laluan itu.

"Kami juga akan menambah baik dan menaik taraf kemudahan serta infrastruktur sedia ada di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di kedua-dua laluan itu.

"Kami juga mahu melihat soal keselamatan terus dipertingkatkan di kedua-dua laluan itu dengan sistem keselamatan dan aset yang canggih dan terkini bagi menilai senarai syak dan suspek secara 'real time' (waktu sebenar)," katanya.

Katanya, pada masa sama, kerajaan juga akan terus memastikan keperluan infrastruktur di CIQ itu ditambah baik selaras dengan jangkaan pertambahan trafik kenderaan perdagangan termasuk keperluan sistem mesin pengimbas barangan kargo.

Beliau berkata, difahamkan, lebih 300,000 hingga 40,0000 orang keluar masuk Malaysia - Singapura setiap hari dan ia mampu mencecah sehingga 500,000 orang pada musim perayaan dan cuti awam.

Selain itu, menurutnya, seramai 150 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di Tambak Johor sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina minggu depan bagi mengawal trafik dan membantu tugas polis.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan Di Tambak Johor dan Linkedua yang berlangsung semalam adalah susulan daripada hasil keputusan dalam Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia- Singapura ke-8 yang diadakan pada 16 Januari lalu.

Antara perkara dibangkitkan pada sesi pemukiman berkenaan termasuk usaha mengatasi kesesakan di Tambak Johor.

Berita Harian X