Rabu, 31 Januari 2018 | 10:37pm

KPT, Alibaba latih siswa niaga dalam talian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Alibaba Business School menjalankan Program Latihan Keusahawanan menerusi Youth E-Commerce Program (YEP) yang membabitkan 30 pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.

 

YEP adalah usaha kementerian untuk mendedahkan penuntut kepada dunia perniagaan sebenar apabila dibawa melihat ekosistem perniagaan e-dagang selain berpeluang berinteraksi dengan usahawan bidang itu di China.

 

Ketua Setiausahanya, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur, berkata sepanjang 10 berada di China, peserta didedahkan dengan modul pengurusan pelanggan, pembangunan organisasi e-dagang, operasi perniagaan dalam talian dan komunikasi perniagaan.

Katanya, mereka juga dibawa melawat ke T-Mall shop dan pejabat operasi Taobao yang menjadi salah satu platform perniagaan dalam talian Alibaba Group.

 

"Saya menyeru pelajar lebih peka dengan peredaran ekonomi semasa global selain mendapatkan sebanyak mungkin pengalaman mengenai ekosistem keusahawanan di China.

 

"Langkah ini sekali gus dapat dimanfaat untuk meningkatkan rangkaian perniagaan antara usahawan muda dari Malaysia dengan China," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semua peserta menerima Sijil Tamat Latihan Program YEP di ibu pejabat Alibaba di Hangzhou, China pada Isnin lalu. Majlis itu turut dihadiri Noorul Ainur dan Naib Presiden Alibaba Group, Brian Wong.

 

Alibaba adalah syarikat gergasi e-dagang dunia dengan memiliki pengguna sebanyak 549 juta orang, seluruh dunia.

 

Sementara itu, Wong memuji usaha Malaysia dalam membangunkan usahawan muda berorientasikan perniagaan digital.

 

Beliau berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada skala yang lebih besar di masa akan datang.

Berita Harian X