Sabtu, 27 Januari 2018 | 6:53pm
PENYEBARAN berita palsu yang dibimbangi boleh membunuh demokrasi negara. - Foto hiasan
PENYEBARAN berita palsu yang dibimbangi boleh membunuh demokrasi negara. - Foto hiasan

Banteras berita palsu

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk pengamal undang-undang dan penganalisis jenayah menyokong cadangan supaya tindakan lebih tegas dikuatkuasakan untuk menyekat penyebaran berita palsu yang dibimbangi boleh membunuh demokrasi negara.

Pengamal undang-undang, Salim Bashir, berkata walaupun negara mengamalkan demokrasi, sistem itu akan tergugat dan lenyap sekiranya penyebaran berita palsu gagal dibanteras.

Sehubungan itu katanya, penguatkuasaan undang-undang lebih tegas terhadap penyebar berita palsu perlu dilaksanakan bagi memastikan demokrasi yang menjadi tunjang pemerintahan dan perpaduan negara dapat dipertahankan.

Beliau berkata, undang-undang sedia seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dipinda sejajar perkembangan semasa bagi mengekang penyebaran berita palsu.

"Undang-undang sedia ada sememangnya sudah memadai dan saya percaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tegas menguatkuasakannya. Cuma apa yang penting adalah pertingkatkan penguatkuasaan dan pinda akta yang tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, yang mahu kerajaan lebih tegas menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang menyebar berita palsu bagi mengelak perbuatan tidak beretika itu membunuh demokrasi negara.

Annuar mahu pihak yang bertanggungjawab mengkaji undang-undang sedia ada seperti dilakukan negara lain untuk menangani masalah penyebaran berita palsu.

Antara berita yang diputarbelitkan adalah nasihat dan teguran Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ketika Majlis Perutusan Tahun Baharu 2018 kementeriannya pada 18 Januari lalu, berhubung larangan pembabitan dalam politik ke atas Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Pada 28 November tahun lalu pula, seorang guru wanita Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Semporna, menjadi individu pertama di negara ini dihadapkan ke mahkamah, atas dakwaan menghantar komunikasi palsu menerusi kumpulan WhatsApp pada 2014.

Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan menyebarkan berita palsu.

Bagi penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar, penyebaran berita palsu perlu dibanteras segera kerana ia memberi kesan negatif terhadap amalan demokrasi di negara ini.

"Amalan demokrasi akan tercalar oleh sikap mereka tidak bertanggungjawab yang menyebar atau memutarbelitkan berita. Betul kita sebuah negara demokrasi, tetapi jangan sampai menggunakan kebebasan bersuara untuk melakukan pembohongan dan fitnah menerusi media sosial," katanya

Berita Harian X