Isnin, 22 Januari 2018 | 1:50pm
NAZRIN Cheong (barisan belakang, kiri) bergambar bersama murid Sekolah Kebangsaan Haji Mahmud selepas menaja 500 akhbar BH dan sisipan didik kepada beberapa sekolah di sekitar Chemor bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa selain membantu pelajar yang bakal mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). - Foto Ihsan Mimbar Nusantara
NAZRIN Cheong (kanan) menyerahkan akhbar Berita Harian kepada murid Sekolah Kebangsaan Haji Mahmud selepas menaja 500 akhbar BH dan sisipan didik kepada beberapa sekolah di sekitar Chemor bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa selain membantu pelajar yang bakal mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).- Foto Ihsan Mimbar Nusantara

Mimbar Nusantara taja sisipan Didik

IPOH: Pemaju perumahan, Syarikat Mimbar Nusantara Holdings (Mimbar Nusantara) menaja 500 akhbar BH dan sisipan Didik kepada beberapa sekolah di sekitar Chemor dekat sini.

Ia bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa selain membantu pelajar yang bakal mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pengarah Urusannya, Nazrin Cheong, berkata usaha itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya membantu pelajar dalam memperoleh keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan awam melalui sisipan BH.

"Apa yang paling utama adalah kami mahu membantu walaupun usaha itu hanya usaha yang kecil memastikan pelajar dapat menguasai bahasa dan mencapai keputusan yang baik melalui sisipan yang disediakan dalam BH.

"Melalui CSR yang dilaksanakan ini mesej saya ringkas dan jelas iaitu mahu memberikan semangat dan harapan kepada semua pelajar yang kurang berkemampuan.

"Kemiskinan tidak bermakna kita tidak mampu untuk berjaya pada masa hadapan, apa yang penting usaha kita mesti terus positif, berusaha dan kerja keras serta menetapkan sasaran untuk berjaya dalam hidup barulah kita boleh berjaya," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Guru Besar SK Haji Mahmud, Abdul Latiff Hashim, berkata pihaknya sangat berbesar hati menerima sumbangan akhbar berkenaan dalam memanfaatkan pelajar khususnya murid Tahun Enam yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini.

Katanya, pihaknya sebelum ini memang melanggan akhbar dan sisipan BH untuk digunakan sebagai akhbar dalam darjah bagi membantu sesi pembelajaran pelajar melalui sisipan yang disediakan.

"Alhamdulillah dengan tajaan yang diberikan Mimbar Nusantara, kami harap ia akan dapat membantu pelajar dan guru memanfaatkan akhbar dan sisipan Didik dalam BH untuk membantu kecemerlangan pelajar," katanya.

Berita Harian X