Ahad, 21 Januari 2018 | 8:09pm
PENGANALISIS politik dan ekonomi, Prof Dr Hoo Ke Ping. - Foto Rosela Ismail

Persempadanan tidak beri kelebihan kepada komponen BN

KUALA LUMPUR: Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijangka dibentangkan pada mesyuarat pertama penggal keenam Parlimen Ke-13 awal Mac ini, jika diluluskan didakwa tidak memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) seperti dakwaan pembangkang.

Penganalisis politik dan ekonomi, Prof Dr Hoo Ke Ping, menyifatkan dakwaan itu bertujuan membangkitkan persepsi negatif terhadap parti pemerintah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semata-mata, sedangkan proses terbabit turut memberi kelebihan kepada pembangkang.

Beliau berkata, persempadanan semula pada kerusi majoriti Cina meningkatkan jumlah pengundi kaum itu, sekali gus memberi kelebihan kepada pembangkang khususnya DAP, sama ada mampu mengekalkan atau menawan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berbanding DAP, beliau melihat, persempadanan semula itu akan mengurangkan peluang MCA dan GERAKAN memenangi beberapa kerusi Parlimen.

Katanya, senario itu berdasarkan di antara 80 hingga 90 peratus pengundi Cina menolak calon BN pada PRU-13, tetapi kembali menyokong parti itu menerusi lima pilihan raya kecil (PRK), yang dianggarkan kira-kira 30 peratus.

"Selain PRK, 70 peratus pengundi Cina kembali menyokong BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, juga memberi gambaran jelas terhadap senario terkini bahawa dianggarkan 40 peratus pengundi kaum itu kembali menyokong BN.

"Bagaimanapun peratusan kembali menyokong BN belum cukup kuat untuk MCA dan GERAKAN menawan kerusi Parlimen, jika usul persempadanan semula diluluskan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Berdepan risiko tewas

Katanya, MCA dan GERAKAN yang menetapkan sasaran boleh menang masing-masing pada 15 dan lima kerusi Parlimen, dijangka berdepan risiko tewas masing-masing pada enam dan tiga kerusi jika usul merombak 128 daripada 222 kawasan Parlimen diluluskan.

Sebagai contoh, katanya bagi kerusi Parlimen Beruas, pewartaan usul persempadanan semula bakal meningkatkan peratusan jumlah pengundi Cina sehingga 20 peratus, begitu juga bagi kerusi lain seperti Bayan Baru, Gopeng, Bakri dan Lumut yang mengurangkan peluang komponen BN itu untuk menang.

"Dakwaan mengatakan persempadanan semula di Semenanjung dan Sabah hampir selesai kecuali Selangor memberi kelebihan kepada BN adalah tidak benar, ia hanya sekadar persepsi," katanya.

Kali terakhir urusan persempadanan dibuat pada 2003. Perlembagaan Persekutuan membenarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh minimum setiap lapan tahun sekali atau sekiranya berlaku pengwujudan wilayah baharu atau penambahan/pengurangan bilangan kerusi dewan.

Pada PRU-13, MCA memenangi tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi, manakala GERAKAN hanya mampu memenangi satu daripada 12 kerusi pada PRU lalu, sebelum menambah satu lagi kerusi Parlimen di Teluk Intan melalui PRK pada 2014.

Ke Ping berkata, UMNO juga tidak menjadikan persempadanan semula sebagai faktor terbesar kepada parti itu untuk menyelamatkan 24 kerusi marginal yang dimenangi dengan kurang 5,000 undi pada PRU-13 termasuk di Parit Buntar, Sabak Bernam, Sekijang dan Bagan Datuk.

Sebaliknya, parti tonggak BN itu memperoleh kelebihan terbesar daripada tindakan PAS keluar daripada gabungan pakatan pembangkang, sekali gus menyaksikan undi Melayu kepada pembangkang berpecah.

Jangka bubar hujung April

"Bagaimanapun saya tidak pasti sama ada persempadanan semula memberi kesan kepada kerusi ditandingi calon MIC," katanya.

Sementara itu, beliau menjangkakan Parlimen akan dibubarkan penghujung April depan bagi memberi laluan kepada PRU-14 diadakan awal Jun depan.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan kes mahkamah membabitkan tokoh besar gabungan pakatan pembangkang seperti pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijangka masih berjalan sehingga pembubaran Parlimen.

Dr Mahathir terbabit dengan skandal urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an, manakala Guan Eng terbabit dalam isu banglo dan projek terowong dasar laut.

Berita Harian X