Sabtu, 20 Januari 2018 | 5:10pm
KETUA Sekretariat 1Belia 1Kemahiran Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohammad Rizan Hassan. - Foto Nurul Shafina Jemenon

TVET wajar diurus satu kementerian

KUALA LUMPUR: Sistem pengurusan dan penyampaian pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) wajar diurus satu kementerian khusus bagi membolehkan sistem pengiktirafan lebih bersepadu dilaksana, sekali gus menjamin masa depan pelatihnya.

Ketua Sekretariat 1Belia 1Kemahiran Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohammad Rizan Hassan, berkata kewujudan kira-kira 500 institusi latihan di bawah tujuh kementerian berbeza, selain diurus pihak swasta serta kerajaan negeri menyebabkan pelaksanaan TVET terjejas.

"Senario ini menyebabkan persaingan tidak sihat dalam kalangan pengendali TVET. Persaingan ingin menjadi jagoan TVET menyebabkan berlaku pembaziran kewangan yang sepatutnya boleh digunakan untuk memberi peluang golongan belia mendapat latihan TVET.

"Isu pengiktirafan, pembiayaan pinjaman latihan dan peluang latihan sepatutnya sudah lama selesai. Sejak 2000 hingga kini lagu sama berulang dan kesannya, masyarakat serta golongan belia tidak yakin dengan TVET sebagai pilihan terbaik.

"Lebih parah, guru di sekolah tidak yakin latihan TVET boleh membantu menangani isu sosial pelajar sekolah.

"Keadaan menjadi lebih buruk apabila sektor industri terus melihat lulusan TVET kelas kedua dan tidak akan memberi pendapatan tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan MBM berkata, tadbir urus pengiktirafan TVET di bawah bidang kuasa dua agensi berbeza iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Katanya, MQA yang berada di bawah Kementerian Pendidikan memberi akreditasi program untuk sektor vokasional dan teknikal yang institusi seperti Politeknik, Kolej Komuniti dan institusi pendidikan, di samping latihan di bawah MARA.

"JPK di bawah Kementerian Sumber Manusia mengakreditasi program latihan kemahiran ditawarkan institusi seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

"Pelaksanaan akreditasi program TVET oleh dua agensi berbeza, menimbulkan keraguan pihak industri dan masyarakat awam berhubung kualiti program serta sistem pensijilan," katanya.

Beliau mengulas gesaan banyak pihak yang mahu pelaksanaan TVET diperbaiki, berikutan pelbagai masalah timbul membabitkan sistem akreditasi dan tenaga pengajarnya hingga menjejaskan nasib pelatih.

Mohammad Rizan berkata, ketika ini, tujuh kementerian menawarkan program TVET iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Pertahanan.

"Semua institusi ini menawarkan program sama sejak penubuhan tanpa pengkhususan.

"Selain institusi awam, ada hampir 900 institusi TVET swasta berdaftar dengan JPK dan 12 pusat pembangunan kemahiran negeri menawarkan program dengan pelbagai kualiti dan standard.

"Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) merangkumi empat universiti awam menawarkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam TVET.

"Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan German-Malaysia Institute (GMi) pula adalah institusi swasta menawarkan pendidikan tinggi TVET," katanya.

 

 

 

 

Berita Harian X